Showing posts with label bahasa melayu. Show all posts
Showing posts with label bahasa melayu. Show all posts

27.2.25

Kebaikan Berpuasa di bulan Ramadhan (Kunci ar-Rayyan)

    ﷽

    Puasa adalah menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Sebagai seorang umat Islam, berpuasa di bulan Ramadhan adalah rukun Islam yang ke-empat yang wajib kita laksanakan. Antara rukun Islam yang lain adalah mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat fardhu lima kali sehari, menunaikan zakat dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan. Walaupun kita diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan, Allah memudahkan bagi mereka yang tidak mampu berpuasa atas sebab tertentu dengan menggantikannya di bulan-bulan yang lain dalam tempoh setahun sebelum kembalinya Ramadan yang baru. Sesungguhnya Allah Maha mengasihani dan Maha Penyayang. Kita digalakkan untuk melakukan persiapan sebelum berpuasa di bulan Ramadhan supaya kita mendapat barakah dan kebaikan yang ada didalamnya serta mengelakkan diri dari mendapat kerugian dan azab Allah. Oleh itu, marilah kita mengetahui kebaikan berpuasa sebulan di bulan Ramadhan untuk persiapkan diri kita dalam melayari bulan penuh keberkatan ini.

    Di Malaysia, yang kaya dengan pelbagai kaum, agama dan bangsa, bukan sahaja umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan, yang bukan Islam juga turut bersama-sama berpuasa kerana kebaikannya serta bagi menghormati umat Islam di sepanjang bulan Ramadhan. Sebagai contoh, Dr Soo Wincci, seorang pensyarah dan artis, telah mula berpuasa pada tahun 2011 dan terus melakukannya saban tahun. Rakaman videonya yang viral berkenaan kurma 'power ball' bersama @ceddyornot turut menjadi buah mulut bagi rakyat Malaysia yang mahu memulakan berpuasa dengan menu sahur yang sihat dan memberi tenaga sepanjang hari. @ceddyornot atau Ceddy Ang, seorang hos televisi, juga telah mula berjinak berpuasa sejak tahun 2023. Yang bukan Islam juga tahu bahawa banyak kebaikan berpuasa sebulan untuk menyucikan badan kita yang kerap makan pada setiap masa apatah lagi kita sebagai seorang umat Islam yang lebih berlipat kali ganda kebaikannya kerana kita melakukan ibadah hanya kerana Allah.

    Antara kebaikan berpuasa adalah dapat menangani masalah kesihatan dengan merehatkan sistem penghadaman dalam badan kita. Dengan kayanya sumber makanan dan kepelbagaian makanan yang sedap dan menarik di Malaysia, sukar untuk kita menolak makanan tempatan yang tersedia. Dengan suruhan Allah yang mewajibkan umat Islam berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, dapatlah kita membantu diri kita dengan merehatkan sistem penghadaman badan kita selama sebulan yang telah bekerja sepanjang tahun dimana dapat menangani masalah kesihatan. Berpuasa juga dapat menurunkan berat badan, menurunkan paras kolesterol darah, merendahkan tekanan darah, dan merendahkan kandungan gula dan trigliserida dalam darah. Nabi Muhammad SAW juga menegaskan bahawa 'perut adalah tempat bermulanya pelbagai jenis penyakit dan amalan pemakanan yang betul dapat menjadi ubat'. Benarlah berpuasa dapat membantu membaik pulih kesihatan badan kita kerana ramai pakar perubatan telah melakukan pelbagai ujian klinikal dan terbukti benar kata-kata Rasul kita dan Al-Quran. 

    Selain kebaikan kesihatan terhadap tubuh badan, berpuasa juga dapat menerapkan nilai murni yang tinggi dengan memahami kesukaran kehidupan seseorang yang miskin tanpa makanan dan minuman. Seperti yang kita ketahui, lebih 6% isi rumah di Malaysia adalah dalam kategori miskin tegar dimana mereka merujuk kepada golongan yang berpendapatan bulanan isi rumah yang kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) . Mereka juga terdiri daripada golongan rentan yang terdiri daripada wanita, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), orang miskin dan belia. Rata-rata rakyat Malaysia hidup sederhana dan cukup dengan pelbagai kemudahan makanan, minuman serta tempat tinggal dan sering kali lupa akan mereka yang hidup susah. Dengan berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, kita dapat merasakan susahnya kelaparan yang dirasai setiap hari oleh orang miskin. Semoga dengan ingatan ini, kita dapat sama-sama membantu mereka yang memerlukan kerana, "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".

     Selain itu, banyak kelebihan berpuasa dari segi spiritual iaitu antara hamba dan pencipta. Di dalam Al-Quran, Allah telah berfirman:  

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ini menunjukkan bahawa Allah telah mensyariatkan supaya hamba-hambaNya berpuasa sebagaimana orang-orang terdahulu supaya kita tergolong dalam golongan orang bertaqwa. Tanpa mengikuti ajaran Allah dan RasulNya, keislaman seseorang boleh musnah kerana islam mengandungi 5 rukun yang perlu kita tegakkan, jika salah satu tidak ditegakkan, maka robohla tiang yang membina keislaman kita. Pelaksanaan ibadah fardhu (berpuasa sebulan di bulan Ramadhan) dengan sempurna akan mendapat ganjaran syurga dan diikuti amalan sunat akan menambahkan lagi pahala serta nilai sesuatu amalan. Allah SWT juga telah menjanjikan bahawa pintu-pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya, syaitan dan iblis akan dirantai serta dibelenggu, pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya bagi menyambut orang yang berpuasa dengan bersungguh-sungguh, ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, dihapuskan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu, amalam-amalan kebaikan yang menjadi syafaat di akhirat kelak selain syafaat dari Nabi Muhammad SAW, dimasukkan ke dalam syurga Allah antaranya pintu ar-Rayyan, doa-doa dimakbulkan Allah, Allah membebaskan hamba-hambaNya daripada api neraka dan dikurniakan dua (2) kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa serta ketika bertemu dengan Allah di akhirat nanti.

    Sesungguhnya banyak dugaan ketika kita melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Seperti umat-umat islam terdahulu, berlakunya peperangan di bulan Ramadhan. Antaranya, Perang Badar iaitu peperangan pertama umat islam dibawah pimpinan Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadhan tahun 624M. Kesukaran yang kita alami hari ini adalah jauh lebih daik dari sebelum ini kerana nikmatnya islam yang dibawa oleh Rasul Allah yang kita sayangi. Benar, masih banyak cabaran dan dugaan ketika ini, tetapi ingatlah janji dan kenikmatan yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya yang sabar dalam beribadah kepadaNya. Kesimpulannya, banyak kebaikan berpuasa untuk sesiapa yang mengerjakannya tidak kira agama dan bangsa malahan berlipat kali ganda kebaikannya buat semua umat Islam kerana bulan yang penuh rahmat dan kasih sayang Allah buat hamba-hambaNya yang beriman. Semoga Allah menerima puasa kita semua dan kita sama-sama bertemu di syurga Allah ar-Rayyan kelak. Insya-Allah dengan izin Allah.


 

16.2.25

Posting selepas 10 tahun

 ﷽

Assalamualaikum semua. Selepas 10 tahun baru ada peluang untuk menulis semula. Kali ini nak persoalkan adakah blogging masih diterima pada masa kini? Sukar dinafikan bahawa kebanyakkan blog-blog yang pernah saya terjah "blog hopping" serta ikuti sebagai "followers" sudah mati. Lebih kurang 97% blog sudah mati - tiada update, jadi advertisement blog, hilang, tidak dapat dikesan termasuklah blog-blog yang pernah saya tulis sebelum ini iaitu berkaitan konsumer dan islam. Saya lebih selesa untuk sesuatu blog itu mempunyai ciri-ciri unik tersendiri dan fokus ke arah satu matlamat. Jadi saya telah menulis banyak blog untuk mencapai matlamat saya tetapi sayangnya blog-blog tersebut hilang. Maksudnya apabila saya ketik laman sesawang tersebut, semua postingan serta maklumat telah hilang tanpa jejak. Mungkin akibat lama tidak login dan ditinggalkan.

Jadi, adakah blogging masih diterima pada masa kini? Kebanyakkan pengguna lebih kearah postingan video dari penulisan lebih-lebih lagi dengan adanya facebook, instagram, tiktok, youtube. Kalau ade postingan pun, penulisan di media sosial seperti facebook lebih digunakan berbanding blogging. Salah satu sebab adalah kerana postingan di facebook lebih mudah dibuat melalui telefon pintar berbanding blog yang leih mudah menggunakan komputer peribadi. Telefon pintar lebih mudah berbanding komputer peribadi kerana saiznya yang lebih kecil, boleh dibawa kemana-mana dan semestinya murah. Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan lebih 99% rakyat Malaysia kini miliki akses telefon mudah alih dan telefon pintar manakala hanya 80% penggunaan komputer di kawasan bandar direkodkan. Jadi kita boleh lihat perbezaan antara penggunaan telefon pintar berbanding komputer memainkan peranan penting untuk sesuatu perkara.

Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) oleh Pihak kerajaan pada tahun 2007 juga telah meningkatkan pencapaian jalur lebar (wifi access) yang juga memainkan peranan penting dalam penerimaan blogging. Pada tahun 2010, hanya 33% kadar langganan jalur lebar isi rumah. Bermaksud, kebanyakkan rakyat malaysia memilih untuk melayari internet di tempat kerja, sekolah, kolej atau di kafe siber. Kini kadar langganan jalur lebar isi rumah meningkat sehingga 98% di kawasan bandar dan 89% di kawasan luar bandar. Akibat dari melonjaknya penggunaan jalur lebar, lebih banyak aplikasi yang telah dibangunkan yang lebih mudah untuk diakses dan digunakan oleh pengguna. Jadi, kadar blogging yang terdahulu merosot akibat kebanyakkan orang lebih selesa untuk beralih ke aplikasi yang lebih mudah dan lebih pelbagai. 

Jadi, persoalannya adakah blogging masih diterima pada masa kini? Masih ada blogger yang aktif kerana kerjaya mereka sebagai "influencer" atau pempengaruh. Tidak kira mereka menggunakan khidmat web berbayar atau percuma seperti blogspot, ketika ini masih ada yang aktif. Lebih 10 tahun yang lepas, semasa melonjaknya penggunaan jalur lebar, ramai pelajar kolej dan pekerja menggunakan blog untuk berkongsi pendapat, ilmu atau mengikut-ikut teman mereka ber-"blog hopping". Kini apabila menginjak lebih dewasa dan merangkul lebih banyak tanggungjawab, blogger-blogger ini tidak lagi menggunakan blog sebagai media sosial yang aktif kerana kekangan masa dan akhirnya banyak blog yang mati. Pempengaruh masih aktif ber-blogging akibat dari kerjaya mereka mempromosikan jenama sendiri atau jenama pihak tertentu yang mampu mengubah pandangan, fikiran atau sebagainya kepada pengguna lain dengan sesuatu kadar bayaran. Jadi, kerjaya seseorang juga merupakan aspek penting atas penggunaan blogging.

Kita boleh lihat bahawa trend blogging masih ada tetapi tidak seperti dahulu akibat dari peralatan yang digunakan, kemudahan jalur lebar serta pekerjaan seseorang. Saya juga antara salah seorang blogger yang telah mula kurang blogging akibat dari sibuk belajar dan seterusnya mencari kerjaya yang kukuh. Hampir 10 tahun juga saya tidak mengelola blog ini dan masih bersyukur kerana tidak hilang dan masih ada pengguna yang melayari blog ini akibat dari postingan yang berunsurkan bahasa melayu seperti karangan, sinopsis dan tutorial. Di era gobalisasi, banyak perkara baharu muncul dan dibangunkan dan banyak juga yang tutup akibat kerugian. Walau apapun yang terjadi, kita harus ingat " Yang patah kan tumbuh, yang hilang kan kembali".

Terima kasih semua. Kalau ada rezeki untuk saya menulis lagi, dengan izin Allah akan menaip. Semoga penulisan ini dapat membantu mencapai syurga Allah yang tertinggi. 


11.2.10

Karangan Peranan Guru kepada Pelajar

Guru memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang. Huraikan peranan guru kepada seseorang pelajar. 
 
 
Dalam era globalisasi, guru memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk seseorang pelajar. Guru diibaratkan sebagai ibu dan bapa kedua bagi pelajar. Hal ini bermaksud guru memainkan peranan yang penting untuk mencorakkan masa depan pelajar. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah yang dilakukan oleh guru kepada seseorang pelajar dalam menaburkan bakti dan jasa yang tidak ternilai harganya. Guru diumpamakan lilin yang sanggup membakar dirinya demi kepentingan anak muridnya. Peranan dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap individu itu. Dari kecil hinggalah menjawat jawatan yang hebat, semua itu adalah hasil ajaran dan didikan guru di sekolah, pun begitu, dunia hari ini semakin maju dan bergerak pantas seiring dengan era ledakan maklumat ini, guru tidak terkecuali merasai tempiasnya. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa guru amat memainkan peranan yang penting kepada seseorang pelajar. 

Peranan guru kepada pelajar ialah mengajar pelajar tentang mata pelajaran tertentu yang telah diamanahkan supaya pelajarnya mencatat kejayaan yang cemerlang. Memang tidak dapat dinafikan bahawa seseorang guru amat menginginkan kejayaan anak muridnya tidak kira murid itu pandai atau tidak. Dengan hasil kejayaan anak muridnya, seseorang guru itu pasti merasakan dirinya dihargai dan gembira serta bangga kerana mendapat seorang pelajar yang cemerlang. Dalam dunia yang fana ini, semua orang inginkan kejayaan yang cemerlang. Dengan kejayaan yang diperoleh, mereka pasti tidak akan lupa akan jasa dan bakti yang dicurahkan oleh guru-guru mereka. Sebagai contohnya, guru yang tidak lekang mengajar pelajarnya sehingga anak muridnya berjaya mencapai cita-cita pasti akan sentiasa diingati oleh pelajar terbabit. Tidak kisahlah mata pelajaran apa yang diajar oleh seseorang guru itu, asalkan ia memberi suatu pengajaran yang tidak dapat dilupakan oleh pelajar dan seterusnya membimbing pelajar itu ke arah masa depan yang lebih cerah. Oleh itu, peranan guru dalam mendidik seseorang pelajar amat penting dalam mencapai kejayaan yang cemerlang. 

Seterusnya, guru perlulah mendidik pelajar dengan menunjukkan contoh dan teladan yang baik. Dengan menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada anak muridnya, seseorang guru itu pasti akan diingati pelajarnya kerana gurunya amat ramah dan mempunyai teladan yang baik untuk dijadikan contoh. Antara teladan yang boleh diberikan kepada pelajar ialah sentiasa menasihati pelajar tentang pentingnya pelajaran dan kejayaan yang cemerlang. Guru juga perlu menerapkan sikap bersatu kita teguh, bercerai kita roboh kepada pelajarnya supaya mereka tidak akan tersisih dari sebarang kejayaan kerana persaingan antara pelajar yang semakin hebat. Sebagai contohnya, jika seseorang pelajar itu tidak mengendahkan kata-kata guru, guru itu boleh menasihati dan sentiasa bertegur sapa dengan murid itu. Dengan ini, guru itu akan menunjukkan bahawa pentingnya slogan budi bahasa budaya kita

Seterusnya, pelajar itu pasti akan merasa malu dan dia pasti akan berubah sikapnya supaya menjadi seorang yang berbudi kerana ditegur oleh gurunya sendiri. Oleh itu, guru memainkan peranan yang penting dalam mendidik pelajarnya tentang sahsiah yang akan membuatkan seseorang pelajar itu lebih gemilang. Selain itu, seseorang guru perlu memberikan nasihat dan panduan demi masa depan pelajar. Dengan nasihat yang berguna, seseorang pelajar itu pasti merasakan dirinya amat penting dalam menggembirakan hati gurunya dengan mencapai kejayaan yang cemerlang. Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga. Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa. Dengan sentiasa mengamalkan peribahasa ini, seseorang pelajar itu pasti akan mengikuti jejak langkah gurunya. Ini kerana, kehidupan yang terlalu bersifat materialistik, teknologi,kemewahan dan hiburan boleh menjejaskan keinginan manusia kepada Tuhan. Dalam keadaan kekosongan inilah guru boleh membina kekuatan dalaman iaitu kerohanian menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kerohanian yang mantap dan suci akan membina intelek yang sihat, emosi yang stabil dan jasmani yang sejahtera. Keharmonian dan keseimbangan potensi rohani, intelek, emosi dan jasmani akan menyubur dan meningkatkan kepercayaan pelajar kepada Tuhan. Pembinaan kekuatan dalaman ini mudah dilaksanakan jika guru menjalankan tugasnya sebagai ibadah dengan matlamat membangunkan insan. Apabila guru berjaya melaksanakan pendidikan akhlak pada peringkat awal, maka akan lahirlah pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua aspek iaitu akademik dan sahsiah. 

Di samping itu, guru perlulah mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada semua pelajar. Ini bermaksud, seseorang guru itu tidak bolehlah pilih kasih dalam memilih pelajar. Jika seseorang guru itu, mengamalkan sikap sedemikian rupa, para pelajarnya pasti akan memandang serong terhadap guru terbabit. Seterusnya, guru tersebut tidak dapat memberikan pengajarannya kepada murid-murid kerana pelajar tidak berasa tenang ketika guru tersebut mengajar. Dengan ini, pembelajaran seseorang pelajar itu pasti akan merosot. Sebagai contohnya, jika seseorang guru itu hanya mengajar dan memuji pelajar kesayangannya, pelajar yang lain pasti akan berasa dirinya tidak berguna dan akhirnya keputusan peperiksaan pelajar terbabit akan merosot kerana sikap tidak adil yang ditunjukkan oleh seseorang guru. Bagai mencurahkan air ke daun keladi. Begitulah yang akan berlaku kepada seseorang pelajar jika seseorang guru itu mengamalkan sikap pilih kasih. 

Pendidikan adalah pemangkin kepada pembinaan Negara Bangsa terutama bagi menyemai semangat kenegaraan khususnya pada peringkat awal pelajar dan diteruskan pada peringkat yang tinggi. Usaha perlu diteruskan untuk memperkukuh perkongsian nilai dan patriotisme melalui aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum etnik di sekolah. Di sinilah peranan dan tanggungjawab guru memainkan peranan. Walau bagaimana pun, semua usaha ke arah membina bangsa perlu perancangan yang teliti dan berterusan. Genggam bara api biar sampai jadi arang perlulah diterapkan dalam diri setiap warga pendidik. Dengan mengamalkan sikap positif yang sedemikian rupa, guru terbabit pasti berjaya dalam mendidik pelajarnya sehingga ke menara gading. Peranan guru sangat penting kerana mana-mana individu yang menjadi pemimpin besar sesebuah negara telah dididik hingga berjaya kerana peranan guru di sekolah atau di universiti. Diharapkan nilai-nilai yang telah ditanam dan dipupuk di peringkat sekolah ini akan terus diamalkan oleh pelajar apabila mereka meninggalkan alam persekolahan. Secara tidak langsung wawasan membina negara bangsa dengan sendirinya akan tercapai.

26.6.09

Biodata pengarang novel Konserto Terakhir

Pengarang novel konserto terakhir ialah Abdullah Hussain. Beliau lahir pada 25 Mac 1920, di Sungai Limau, Yan, Kedah.Pendidikan awalnya adalah di Sek.Melayu Sungai Limau sehingga lulus darjah 5.Kemudian,beliau menyambung pelajarannya di Sekolah Inggeris St.Michael (1932-33).Seterusnya, beliau bersekolah di Anglo Chinese School, Alor Star pada tahun 1935.Dari segi pekerjaan, beliau pernah bekerja sebagai Penolong Penjaga Setor di sebuah perusahaan bijih timah di Pahang pada tahun 1939,Pengarang Akhbar Sahabat (1941), Pengarang Majalah Puspa di Medan,pernah bekerja di Kem Tentera Sg.Petani dan juga sebagai Pegawai Penyelidik di DBP (1968). Dalam bidang penulisan beliau banyak menulis cerpen,novel,biografi, autobiografi,esei, kritikan, drama, dan sebagainya.Hasil-hasil karyanya yang lain adalah seperti Issabela (terjemahan),Orang Tua dengan Laut (terjemahan), dan banyak lagi. Sepanjang pelibatannya dalam bidang penulisan, beliau banyak meraih kejayaan seperti memenangi Sayembara Mengarang Cerpen sempena Hari Buruh di Medan (1950), Peraduan Penulisan Cerpen Berunsur Islam anjuran Jabatan Perdana Menteri, SEA Write Award, dan kejayaan yang terbesar ialah beliau telah memenangi Anugerah Sasterawan Negara ke-8. 

Kajian Peranan watak utama Konserto Terakhir

Novel yang saya kaji ialah novel Konserto Terakhir. Banyak peranan yang dimainkan oleh watak utama. Watak utama berperanan sebagai wakil pengarang untuk menyampaikan tema dan persoalan. Sebagai contohnya, watak Hilmi mempunyai sifat-sifat peribadi yang tabah dan gigih berusaha untuk mencapai kejayaan. Sifat inilah yang menjadi persoalan pokok novel tersebut. Watak utama memainkan peranan penting untuk menghidupkan cerita. Hampir semua peristiwa melibatkan watak utama kerana watak utama menjadi fokus utama cerita. Contohnya, watak Hilmi memainkan peranan dari permulaan cerita hinggalah peringkat peleraian. Watak utama juga berperanan untuk mengembangkan plot kerana perkembangan plot seiring dengan perkembangan perwatakan watak utama. Contohnya, watak Hilmi terlibat dengan peristiwa penting dari peringkat permulaan, perkembangan, perumitan, puncak, dan peleraian. Selain itu, watak utama berperanan menyampaikan mesej dan nilai peribadi yang diterangkan oleh pengarang. Contohnya, watak Hilmi digambarkan sebagai bersifat sabar, tabah menghadapi cabaran, jujur, dan bijaksana. Sifat-sifat inilah yang wajar dimiliki untuk menjadikan seseorang itu berjaya. Kejayaan Hilmi sebenarnya merupakan kejayaan impian pengarang.

Karangan Peranan Ibu bapa dan keluarga

Keluar SPM 2009!
Karangan: Peranan Ibu Bapa dan keluarga


    Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Dengan mendapat kejayaan yang cemerlang, masa depan anak-anak mereka akan terjamin. Oleh itu, ibu bapa cuba untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Oleh sebab itu, peranan ibu bapa dan keluarga amat penting dalam kejayaan anak-anak mereka yang seterusnya akan membuahkan hasil.

    Sebagai seorang bapa yang memikul tanggungjawab yang besar dalam sesebuah keluarga, mereka perlulah bekerja mencari nafkah untuk kepentingan anak-anak mereka. Jika seseorang anak itu tidak mempunyai bapa atau yatim piatu, penjaga mereka terpaksa memikul tanggungjawab yang diamanahkan supaya kejayaan anak-anak dicapai. Dengan nafkah atau mata pencarian yang diperolehi, anak-anak itu dapatlah menggunakan duit untuk membeli bahan rujukan pelajaran atau pembayaran bagi pelajar yang mengambil kelas tambahan. Sebagai contohnya, bapa perlulah bekerja untuk membayar yuran sekolah anak-anak mereka supaya anak-anak dapat meneruskan pembelajaran mereka dengan selesa. Oleh itu, bapa perlulah mencari nafkah untuk anak-anak mereka.

    Selain itu, ibu bapa dan keluarga perlu mendidik anak-anak dengan memberikan nasihat, pengajaran, dan memotivasikan anak-anak supaya tidak mudah berputus asa. Dengan ini, anak-anak akan berasa bersemangat untuk belajar kerana didorong oleh sikap positif seperti ini. Anak-anak juga berasa kejayaan dirinya amat penting dalam sesebuah keluarga sebagai akibat dorongan dan nasihat daripada ibu bapa dan keluarga. Dengan ini, anak-anak akan mencuba memantapkan diri dalam bidang pelajaran dan seterusnya kejayaan yang diimpi menjadi kenyataan. Sebagai contohnya, dorongan yang diberikan oleh kaum keluarga di samping memberikan hadiah kepada pelajar akan membangkitkan semangat untuk berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran. Oleh itu, didikan dan dorongan oleh kaum keluarga amat penting supaya kejayaan anak-anak dalam pelajaran dicapai.

    Seterusnya, kasih sayang daripada ibu bapa dan keluarga kepada anak-anak akan mendorong anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran. Seperti yang kita ketahui, kekuatan kasih sayang dapat mengukuhkan perasaan cinta kepada keluarga dan dapat menghapuskan perasaan duka seseorang. Kasih sayang yang dimaksudkan di sini ialah kekerapan ibu bapa dan keluarga mengambil berat tentang pelajaran anak-anak mereka dan bagaimanakah perasaan mereka ketika mengharungi zaman remaja. Sebagai contohnya, ibu bapa dan keluarga yang memberikan kasih sayang yang secukupnya dapat menjadikan hasrat mereka untuk melihat anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran termakbul. Oleh itu, kasih sayang perlulah ditunjukkan oleh ibu bapa dan keluarga terhadap anak-anak mereka supaya kejayaan yang diimpi tercapai.

    Kesimpulannya, jelaslah bahawa peranan ibu bapa dan keluarga untuk menentukan kejayaan anak-anak mereka dalam bidang pelajaran amat penting. Oleh itu, ibu bapa dan keluarga perlulah memberikan dorongan kepada anak-anak mereka supaya kejayaan anak-anak yang diharapkan oleh mereka tercapai. Dengan tiadanya dorongan daripada ibu bapa dan keluarga, anak-anak mungkin berasa kurang bersemangat dan akhirnya tidak berjaya dalam bidang pelajaran. Oleh sebab anak-anak merupakan pewaris kaum keluarga dan bakal menuju ke alam yang lebih mencabar, ibu bapa dan keluarga perlulah mendidik anak-anak mereka supaya masa depan mereka lebih cerah dan teratur.

Hasil : Maisarah 5C

6.6.09

Karangan sempena Merdeka

    31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat bagi negara Malaysia. Tanpa disedari, banyak peristiwa dan insiden yang berlaku sejak tarikh keramat itu. Kita semua telah berjaya membina sebuah negara yang menyerlah hasil jerih perih dicengkam penjajah sebelum ini. Kita berjaya menyemai benih-benih kemakmuran dan kini menikmati manisnya hasil keringat pemimpin terdahulu. Lebih penting lagi kita telah membawa bersama sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk selain dilimpahi dengan semangat muhibah, tidak ketinggalan juga bersatu dalam perkongsian kejayaan pada masa depan. Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa bangga, megah dan gembiranya rakyat Malaysia untuk melihat negara tercinta keluar dari kepompong British setelah dijajah selama lebih 170 tahun. Laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka masih segar dalam ingatan dan menjadi sebuah memorabilia yang manis bukan sahaja kepada mereka yang hidup kira-kira setengah abad yang lalu bahkan juga generasi muda kini.

    Hakikatnya, hasrat untuk mengecapi dan menghirup udara kemerdekaan tidak mungkin menjadi kenyataan jika tidak kerana perjuangan yang dipelopori oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara seperti Allahyarham Dato Onn bin Jaafar, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambathan. Dalam lembaran sejarah yang panjang, usia 50 tahun itu begitu cepat berlalu. Apabila rentang masa itu diukur dalam kerangka sejarah manusia, 1957 seolah-olah sekelip mata sahaja detiknya. Segala harapan, jangkaan dan aspirasi negara kini berada pada puncaknya di saat rakyat Malaysia melangkah ke era baru melepasi zaman keemasan yang dinikmati dalm suasana aman, maju dan makmur.

    Malaysiaku Gemilang’, begitulah tema hari kemerdekaan yang ke-50 negara Malaysia. Sambutan jubli emas negara dilimpahi dengan perasaan keyakinan. Tamsilannya, hasil usaha bersungguh-sungguh rakyat Malaysia selama lima dekad yang lepas walaupun melalui pelbagai kesukaran dan halangan berjaya menghasilkan kemerdekaan buat negara dan menunjukkan bahawa mereka secara semulajadinya tidak canggung untuk bekerja bersama-sama dan maju seiringan.

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara tahun ini sebagai yang paling manis dan bermakna baginya. Bekas presiden MCA (Malaysian Chinese Association), Tun Dr Ling Liong Sik pula berharap supaya keharmonian yang wujud pada masa ini akan berterusan buat selama-lamanya. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memuji acara sambutan jubli emas negara tahun ini yang dianggap berjaya mengangkat martabat wanita di era moden. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien pula turut memuji komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh peserta perarakan. Ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai para pemimpin yang begitu komited dalam menjalankan tugas untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

    Tambahan pula, Presiden Singapura, S.R. Nathan menghantar perutusan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Beliau juga mengatakan di dalam suratnya yang 50 tahun pertama Malaysia meninggalkan kesan kemajuan dan pembangunan yang amat memberangsangkan. Selain itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong turut menghantar ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Hal ini menunjukkan yang Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan negara jiran. Sebelum mencapai kemerdekaan, Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu pernah dijajah oleh Inggeris, Portugis, Jepun dan Belanda. Walaupun sebahagian dari negara di Asia Tenggara pernah dijajah oleh lebih dari satu kuasa penjajah, hanya satu kuasa penjajah sahaja yang mempunyai kesan dominan ke atas sistem politik negara berkenaan. Akhirnya, Malaysia menerima sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan bermodelkan sistem politik Inggeris.

    Kehidupan rakyat yang serba kekurangan dan tidak mendapat hak yang sewajarnya pada lima dekad yang lalu wajar dijadikan iktibar untuk belia masa kini. Perjuangan rakyat yang tidak mengenal erti putus asa dalam kehidupan mereka telah menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang cepat membangun dari segi ekonomi dan politik. Tambahan pula, eknomi dan politik negara telah berkembang pesat dan mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Selain itu, perkembangan dalam bidang perindustrian dan pengangkutan telah berjaya membuka mata dunia untuk mengenali Malaysia.

    Dalam 50 tahun kebelakangan ini, kita telah menyaksikan lambakan pencapaian yang membanggakan. Kejayaan terbaiknya ialah dalam memperkasakan penduduk luar bandar. Tambahan pula, 50 tahun dahulu, separuh daripada penduduk negara hidup di bawah garis kemiskinan. Kini, hanya tinggal lima peratus daripada jumlah penduduk yang sudah bertambah empat kali ganda jumlahnya dan ia disasarkan mencapai sifar kemiskinan dalam tempoh tiga tahun.

    Di samping itu, pencapaian yang turut dimegahkan ialah walaupun kecil dari segi saiz geografinya, ia sudah menjadi sebuah daripada 20 negara perdagangan utama di dunia. Selain itu, dalam pembangunan sosio-ekonomi, satu daripada asasnya ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang matlamatnya untuk membasmi kemiskinan dan memberi kuasa ekonomi kepada semua kaum. Malaysia juga telah mencapai kejayaan besar dalam membangunkan industri komunikasi dan multimedianya, dengan kemuncak kejayaannya ialah pengwujudan Koridor Raya Multimedia yang telah membawa negara ke mercu saingan ICT global. Kejayaan mencipta jenama telefon bimbit sendiri iaitu M. Mobile telah berjaya menempa nama Malaysia sebagai sebuah negara pembuat telefon bimbit.

    Kronologi kejayaan Malaysia dalam membina sebuah negara yang membangun adalah dengan bermulanya pembinaan Bangunan Parlimen pada tahun 1963. Pada tahun 1966, Tugu Negara telah dibina bagi mengenang jasa wira-wira negara yang sanggup menggadai nyawa demi tanah air tercinta. Satu lagi kejayaan negara adalah dengan mengeluarkan kereta nasional pertama, Proton, pada tahun 1985. Kini sektor automotif negara semakin membina reputasi bukan hanya kerana membuat kenderaan sendiri tetapi juga keupayaaan teknologi dan kejuruteraannya serta dalam bidang eksport komponen dan alat ganti.

    Selain itu, pembinaan Menara Berkembar Petronas (1997), yang pada satu ketika merupakan bangunan tertinggi di dunia, bukanlah semata-mata menjadi mercu tanda ternama negara tetapi sebenarnya mempamerkan kemampuan dan kehandalan sektor pembinaan dan kejuruteraan Malaysia. Hal ini, telah menyebabkan kontraktor Malaysia mendapat tawaran besar pekerjaan di luar negara, terutama di Asia Tenggara dan Timur Tengah. Selain itu, rangkaian Lebuhraya Timur-Barat (1983) dan Lebuhraya Utara-Selatan (1994) serta pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) pada tahun 1998 turut mewarnai cabang kemampuan dan kredibiliti Malaysia. Tambahan pula, terowong SMART yang baru selesai dibina menunjukkan kebolehan Malaysia yang berjaya menggabungkan terowong tebatan banjir dan jalan raya dalam satu infrastruktur bak kata pepatah, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

    Rakyat Malaysia secara individu telah lama mengukir nama mereka di seluruh pelosok dunia sama ada sebagai saintis, pereka fesyen, pelayar, ahli akademik atau politik. Seorang daripadanya ialah Datuk Jimmy Choo yang berpangkalan di London, seorang pereka kasut yang halus seninya sehingga berjaya menambat hati banyak pelanggan terkemuka dan salah seorangnya ialah mendiang Puteri Diana. Malaysia juga berjaya melahirkan Zhang Toi, seorang pereka fesyen yang amat berpengaruh dan beroperasi di New York dan Datuk Michelle Yeoh, seorang aktres Hollywood yang dikenali sebagai gadis “Bond” selepas berlakon dalam salah satu daripada siri filem James Bond. Di samping itu, Malaysia turut berbangga mempunyai pelayar lagenda, Datuk Azhar Mansor yang berjaya menempa namanya dalam sejarah negara menjadi rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo mengikut laluan baru timur-barat-timur, meliputi lebih daripada 25,000 batu nautika. Satu kejayaan yang belum pernah dicapai pelaut lain, termasuk zaman Ferdinand Magellan dari Sepanyol dan Sir Francis Drake dari Britain. Mereka ini telah berjaya membuktikan yang rakyat Malaysia mampu untuk bersaing dengan bangsa lain.

    Malaysia juga telah berjaya menaikkan imej sukan negara di peringkat antarabangsa. Penganjuran Sukan Komanwel pada tahun 1998 membuktikan kredibiliti Malaysia dalam menganjurkan sukan di peringkat antarabangsa. Selain itu, penganjuran Sukan Sea juga telah berjaya meningkatkan mutu sukan negara. Malaysia juga tidak ketandusan atlet-atlet yang berwibawa. Buktinya, lihat sahaja kejayaan Nicol Ann David, anak kelahiran Pulau Pinang yang berjaya merangkul Kejuaraan Dunia sekaligus merampas kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia dan sehingga kini tiada siapa yang dapat menggugatnya. Selain itu, Malaysia telah berjaya merangkul emas dalam tempoh 30 tahun dalam Sukan Asia di Doha melalui beregu emas, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong. Usia yang muda tidak mampu menghalang mereka daripada mengharumkan nama negara di persada dunia. Tidak mustahil mereka mampu menggapai gelaran pemain nombor satu dunia tidak lama lagi. Era kegemilangan bola sepak negara pada zaman Mokhtar Dahari mungkin dapat dikembalikan melihat kepada perkembangan bola sepak negara baru-baru ini. Kecemerlangan yang ditunjukkan oleh skuad bola sepak bawah 19 tahun semasa menentang Chelsea amat membanggakan dan kemenanangan yang diperoleh skuad bola sepak bawah 23 tahun negara dengan mengalahkan Myanmar pada Pestabola Merdeka menunjukkan kebangkitan skuad bola sepak negara.

    Kestabilan politik sejak zaman Perikatan sehingga kepada Barisan Nasional hari ini dibina berasaskan kepada perkongsian kuasa, kompromi dan toleransi. Pengalaman Malaysia dipandu oleh pembuatan dasar yang pragmatik. Malaysia tidak pernah berideologi dalam isu pembangunan dan kita lebih gembira untuk memilih secara bersama sebuah strategi yang mempunyai variasi daripada kepelbagaian ideologi demi menyesuaikan keperluan pada masa ini. Namun, sesungguhnya, kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan yang diperolehi. Awan mendung menunggu kita di luar sana, di mana dengan arus globalisasi yang kian mendesak negara-negara maju menjadi lebih berdaya saing. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), negara memberikan perhatian khusus kepada keperluan mengenal pasti strategi ekonomi yang betul. Dalam hal ini, kerajaan komited dalam memastikan RMK-9 akan berjalan lancar mengikut perancangan.

    Kemerdekaan negara membuktikan yang kita mewujudkan lapisan pemimpin yang prihatin terhadap kebajikan rakyat pimpinan mereka. Kita dapat lihat bahawa masyarakat sudah bijak dalam memilih pemimpin dan tamsilannya sudah ramai pemimpin yang tidak berwibawa dan korup terpinggir dan disisihkan. Perdana Menteri sekarang banyak mengamalkan toleransi yang membuatkan ramai pihak segan dan mengagumi cara kepimpinan beliau.

    Era kegemilangan Malaysia yang akan datang sudah pun berada pada landasan untuk satu kejayaan awal di luar muka bumi ini iaitu dengan menghantar seorang warga Malaysia ke angkasa lepas. Angkasawan pertama Malaysia akan diterbangkan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan menaiki sebuah pelancar roket Russia. Pada ketika ini, pilihan angkasawan negara adalah Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr Faiz Khaleed untuk menjadi warga Malaysia pertama melihat negaranya dari angkasa lepas. Oleh itu, sesungguhnya seluruh warga Malaysia memang wajar merayakan zaman keemasan negara ini untuk bersama-sama melangkah ke satu lagi era kemasyhuran negara.

    Malaysia pernah dijenamakan sebagai negara pertanian pada awal sejarah penubuhannya. Hal ini diperkuatkan lagi dengan Rancangan Buku Hijau, kewujudan Felda, Felcra, Risda, Porim dan lain-lain badan dan agensi yang bertanggungjawab sebagai badan pelaksana, perancang dan juga pemberi input dari segi kepakaran dan teknologi untuk rancangan pertanian bersepadu di seluruh negara. Namun, adakah negara kita akan maju jika masih dijenamakan sebagai sebuah negara pertanian, mahupun sebagai sebuah negara tempat persingghan barangan sebelum menjadi suatu produk lengkap. Tidak ada ertinya kemerdekaan jika kita maju dalam acuan yang ditentukan oleh orang lain. Kita perlulah membina suatu empayar ekonomi yang disegani yang akan menaungi negara-negara lain. Malaysia perlu menjadi tempat rujukan dalam pelbagai aspek, baik dari segi pembangunan, pendidikan, sosial, agama dan lain-lain bidang yang dapat membantu keamanan dan kestabilan sejagat.

    Negara kita amat bertuah kerana dasar-dasar yang diamalkan oleh kerajaan merentas zaman dan juga merentas batasan kaum dan agama. Lima puluh tahun yang akan datang, bagaimanakah kita ingin menceritakan kepada generasi akan datang mengenai 50 tahun yang telah berlalu. Adakah ketika kita menyambut kemerdekaan yang ke-100 pada tahun 2057, masyarakat pada zaman tersebut akan kenal Bapa Kemerdekaan dan Bapa pembangunan Malaysia? Lima puluh tahun yang telah berlalu adalah penentu kepada lima puluh tahun yang akan datang. Kejayaan negara kita dibina menerusi usaha semua pihak bak kata pepatah, ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Pelbagai proses pahit manis dilalui sejak lima dekad lalu seharusnya dijadikan teladan dan sempadan untuk Malaysia mengharungi 50 tahun yang akan datang.

   Malaysia perlu kekal mengamalkan dasar perkongsian kuasa bijak antara kaum yang perlu dicontohi negara lain. Dengan kata lain, dasar yang diwujudkan kerajaan sesuai untuk diaplikasikan semua warganegara tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan. Sebagai contoh, pendekatan Islam Hadhari yang diterima baik bukan sahaja golongan beragama Islam malah diterima segenap lapisan masyarakat. Jika dulu ‘siapa kuat akan menang’, sekarang ‘siapa mengamalkan pengurusan dan pentadbiran yang bersih akan menang’. Proses dan sistem dalam pentadbiran awam perlulah telus supaya tiada lagi ruang yang kabur atau tersekat yang menyebabkan masyarakat mula bosan dan sangsi terhadap keberkesanan kerajaan dalam memerintah.

  Malaysia perlu mempunyai modal insan berhemah, berkualiti dan berpandangan jauh sekiranya ingin memastikan untuk 50 tahun yang akan datang, negara kita tidak akan dijajah dalam apa jua bentuk. Mungkin untuk tempoh tersebut, tidak mustahil kita akan menguasai sebahagian ekonomi dunia, kita akan menjajah sejarah peradaban dunia serta moncorak penjalanan sosial dunia.

    Jika disamakan usia negara seperti manusia, bolehlah kita rumuskan bahawa negara kita sudah matang, sudah melahirkan golongan pelapis menerusi pelbagai perubahan, memiliki keluarga besar, mempunyai kewangan yang stabil dan akan mewariskan segala harta kepada golongan pelapis. Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama. Langkah pertama kanak-kanak adalah langkah yang manis, namun dibimbangi ibu bapa kerana takut berkemungkinan anak itu akan jatuh. Jangan takut, Malaysia menjadi anak yang mengambil langkah pertama tanpa gentar sambil membantu rakan lain bertatih kerana untuk 50 tahun yang akan datang diharap akan menjadi ‘kakanda’ kepada negara yang lain.

Hasil nukilan: Hamba Allah (yang menyayangi Malaysia.)

9.2.09

Karangan ulasan cerpan ( Aku, Kris, dan Kristal )



Judul Cerpen : Aku, Kris, dan Kristal
Nama Pengarang : Dima Mazlina
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun : 1993
Harga : RM 5.70

Cerpen yang telah saya baca baru-baru ini ialah "Aku, Kris, dan Kristal" karya oleh Dima Mazliana. Cerpen ini termuat dalam antologi "Kerusi" terbitan Dewan bahasa dan Pustaka pada tahun 1993. Saya memilih cerpen ini kerana penceritaannya yang sangat menarik dan terdapat unsur percintaan antara dua jurang yang amat berbeza.

Sinopsis cerpen ini ialah 'Aku' seorang gadis melayu yang melanjutkan pelajarannya di Britain. 'Aku' yang dimaksudkan disini ialah Hana, gadis dari Malaysia yang sedang belajar di Universiti College, Cardiff. Hana mempunyai dua orang kenalan berbangsa asing. Kenalan lelakinya ialah Kris manakala kenalan wanitanya ialah Kristal. Kris jatuh hati kepada Hana. Pada masa yang sama Kristal meminati Kris. Perhubungan Hana dan Kristal mulai renggang apabila Kristal mengetahui Hana dan Kris melancong ke Luxembourg. Hana cuba memberitahu Kristal tentang perhubungannya dengan Kris adalah sebagai kawan biasa. Hana seterusnya membuat pengakuan kepada Kristal bahawa dia sudah mempunyai tunang di tanah air. Kris yang merajuk apabila mengetahui bahawa Hana sudah bertunang membawa diri ke Jerman Barat. Kristal pula kecewa dengan tindakan Kris dan mulai rapat dengan Fitzgerald selepas ketiadaan Kris. Akhirnya, Kristal ditemui mati kerana terlalu banyak memakan pil tidur. Kristal terlalu kecewa dan berasa malu kerana selama ini perasaan cintanya tidak mendapat balasan daripada Kris. Akhirnya, pada suatu hari, Hana berasa terkejut apabila Kris muncul dengan tiba-tiba dan telah menukar agamanya menjadi seorang muslim.

Cerpen ini bertemakan kasih sayang yang berlandaskan kekuatan pegangan agama dan budaya masyarakat Timur. Persoalan yang terdapat di dalam cerpen ini ialah persahabatan yang merentas sempadan agama dan budaya. Hana yang beragama Islam dan berasal dari Timur dapat menjalin persahabatan dengan Kris dan Kristal yang berbeza agama dan budaya. Selain itu, didikan agama yang sempurna dapat mengukuhkan dan memantapkan iman. Berkat bekalan dan didikan agama yang sempurna, Hana dapat mempertahankan imannya dari tergoda oleh budaya hidup Barat yang serba bebas. Seterusnya, menuntut ilmu merupakan suatu kewajiban. Hana melanjutkan pelajaran ke luar negara demi menuntut ilmu pengetahuan. Selain itu, perbezaan budaya hidup masyarakat Timur dan Barat. Anak-anak muda di Barat sering berfoya-foya dan bergaul bebas, berbeza dengan nak-anak muda masyarakat Timur.

Plot cerpen ini tidak mengikut kronologi. Eksposisi cerpen mengisahkan perkenalan watak Hana setelah tiga tahun menuntut di Britain dan mengimbas peristiwa lalu. Perkembangan cerpen ini adalah ketika perkenalan Hana dengan Kris dan Kristal. Perumitan berlaku ketika Hana dicemburui oleh Kristal kerana rapat dengan Kris. Klimaks pula berlaku ketika Hana menolak cinta Kris dan Kristal membunuh diri. Peleraian cerpen ini berlaku apabila Kris mengunjungi Hana dan telah menganut agama Islam.

Cerpen "Aku, Kris dan Kristal" ini telah didukung oleh beberapa watak yang menarik. Watak utamanya ialah Hana. Perwatakan Hana menggambarkan seorang yang positif, berhemah tinggi, pandai mengambil hati orang, kuat pegangan agama, berpegang pada adab ketimuran dan mendengar nasihat. Watak-watak sampingan di dalam cerpen ini ialah Kris dan Kristal. Perwatakan Kris ialah seorang yang suka membantu dan mudah berputus asa. Perwatakan Kristal pula ialah seorang yang cemburu dan bersikap terlalu emosional serta mudah berputus asa.

Cerpen ini mempunyai beberapa nilai dan pengajaran yang Universal. Nilai kasih sayang ditunjukkan oleh Kris yang sangat menyayangi Hana dan sanggup bertukar agama kerananya. Nilai tegas ditunjukkan oleh Hana dalam pergaulan dan menolak segala rayuan dan pengaruh Barat oleh Kris. Nilai bijaksana ditunjukkan oleh Hana kerana berpeluang melanjutkan pelajaran di luar negara. Nilai berdikari ditunjukkan oleh Hana ketika berada di perantauan yang jauh dari keluarga dan sanak-saudara. Pengajaran yang dapat dikesan dalam cerpen "Aku, Kris, dan Kristal" ialah kita hendaklah mempertahankan budaya dan pegangan agama walau di mana-mana pun kita berada. Sebagai contah, Hana berpeganag kuat pada ajaran agama dan kebudayaan semasa berada diluar negara. Selain itu, manusia hendaklah pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran dan masyarakat. Sebagai contoh, Hana pandai menyesuaikan diri dan bergaul dengan masyarakat Barat tempat dia belajar. Seterusnya manusia hendaklah mengelak dari sikap cepat berputus asa apabila menghadapi kekecewaan. Sebagai contoh, tindakan Kristal yang membunuh dirinya dengan memakan pil tidur yang banyak tidak patut dijadikan teladan yang baik. Selain itu, kita hendaklah saling menghormati sesama manusia walaupun berlainan agama dan bangsa. Sebagai contoh, Hana yang menghormati Mrs Doogan, walaupun setelah tidak lagi tinggal di rumah wanita Inggeris itu.

Kesimpulannya, cerpen ini memberikan manfaat dan teladan yang wajib ikuti dan tidak wajib ikuti kepada pembaca. Isu membunuh diri amat popular dikalangan remaja sebagai salah satu cara untuk melepaskan diri dari sebarang masalah yang wajib dielakkan.

11.1.09

Terima kasih


Selamat sejahtera saya ucapkan kepada sesiapa yang melihat blog saya yang tak seberapa ini. Saya berharap agar kamu semua sukakannya. Saya juga ingin mengucapkan *TERIMA KASIH* kepada Cikgu Ghalib yang telah mengajar Bahasa Melayu (5 Cengal dan 5 Kempas) dan mengajar kami membuat Blog yang telah memperkuatkan pembelajaran IT dikalangan pelajarnya. Selain itu, saya ingin mengucapkan *TERIMA KASIH* kepada Maisurah yang telah mengajar saya membuat Blog dan sesetengah isinya. *TERIMA KASIH* juga kepada sesiapa yang telah membantu saya dalam apa jua sekalipun tidak kira secara langsung atau tidak langsung. Saya akan berusaha sehabis baik untuk mencapai kecemerlangan dalam SPM dan mendokan agar Semua pelajar tingkatan 5 juga berjaya dalam SPM disamping cemerlang dalam sahsiah serta ubudiah. *TERIMA KASIH* semua...