27.2.25

Kebaikan Berpuasa di bulan Ramadhan (Kunci ar-Rayyan)

    ﷽

    Puasa adalah menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Sebagai seorang umat Islam, berpuasa di bulan Ramadhan adalah rukun Islam yang ke-empat yang wajib kita laksanakan. Antara rukun Islam yang lain adalah mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat fardhu lima kali sehari, menunaikan zakat dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan. Walaupun kita diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan, Allah memudahkan bagi mereka yang tidak mampu berpuasa atas sebab tertentu dengan menggantikannya di bulan-bulan yang lain dalam tempoh setahun sebelum kembalinya Ramadan yang baru. Sesungguhnya Allah Maha mengasihani dan Maha Penyayang. Kita digalakkan untuk melakukan persiapan sebelum berpuasa di bulan Ramadhan supaya kita mendapat barakah dan kebaikan yang ada didalamnya serta mengelakkan diri dari mendapat kerugian dan azab Allah. Oleh itu, marilah kita mengetahui kebaikan berpuasa sebulan di bulan Ramadhan untuk persiapkan diri kita dalam melayari bulan penuh keberkatan ini.

    Di Malaysia, yang kaya dengan pelbagai kaum, agama dan bangsa, bukan sahaja umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan, yang bukan Islam juga turut bersama-sama berpuasa kerana kebaikannya serta bagi menghormati umat Islam di sepanjang bulan Ramadhan. Sebagai contoh, Dr Soo Wincci, seorang pensyarah dan artis, telah mula berpuasa pada tahun 2011 dan terus melakukannya saban tahun. Rakaman videonya yang viral berkenaan kurma 'power ball' bersama @ceddyornot turut menjadi buah mulut bagi rakyat Malaysia yang mahu memulakan berpuasa dengan menu sahur yang sihat dan memberi tenaga sepanjang hari. @ceddyornot atau Ceddy Ang, seorang hos televisi, juga telah mula berjinak berpuasa sejak tahun 2023. Yang bukan Islam juga tahu bahawa banyak kebaikan berpuasa sebulan untuk menyucikan badan kita yang kerap makan pada setiap masa apatah lagi kita sebagai seorang umat Islam yang lebih berlipat kali ganda kebaikannya kerana kita melakukan ibadah hanya kerana Allah.

    Antara kebaikan berpuasa adalah dapat menangani masalah kesihatan dengan merehatkan sistem penghadaman dalam badan kita. Dengan kayanya sumber makanan dan kepelbagaian makanan yang sedap dan menarik di Malaysia, sukar untuk kita menolak makanan tempatan yang tersedia. Dengan suruhan Allah yang mewajibkan umat Islam berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, dapatlah kita membantu diri kita dengan merehatkan sistem penghadaman badan kita selama sebulan yang telah bekerja sepanjang tahun dimana dapat menangani masalah kesihatan. Berpuasa juga dapat menurunkan berat badan, menurunkan paras kolesterol darah, merendahkan tekanan darah, dan merendahkan kandungan gula dan trigliserida dalam darah. Nabi Muhammad SAW juga menegaskan bahawa 'perut adalah tempat bermulanya pelbagai jenis penyakit dan amalan pemakanan yang betul dapat menjadi ubat'. Benarlah berpuasa dapat membantu membaik pulih kesihatan badan kita kerana ramai pakar perubatan telah melakukan pelbagai ujian klinikal dan terbukti benar kata-kata Rasul kita dan Al-Quran. 

    Selain kebaikan kesihatan terhadap tubuh badan, berpuasa juga dapat menerapkan nilai murni yang tinggi dengan memahami kesukaran kehidupan seseorang yang miskin tanpa makanan dan minuman. Seperti yang kita ketahui, lebih 6% isi rumah di Malaysia adalah dalam kategori miskin tegar dimana mereka merujuk kepada golongan yang berpendapatan bulanan isi rumah yang kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) . Mereka juga terdiri daripada golongan rentan yang terdiri daripada wanita, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), orang miskin dan belia. Rata-rata rakyat Malaysia hidup sederhana dan cukup dengan pelbagai kemudahan makanan, minuman serta tempat tinggal dan sering kali lupa akan mereka yang hidup susah. Dengan berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, kita dapat merasakan susahnya kelaparan yang dirasai setiap hari oleh orang miskin. Semoga dengan ingatan ini, kita dapat sama-sama membantu mereka yang memerlukan kerana, "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".

     Selain itu, banyak kelebihan berpuasa dari segi spiritual iaitu antara hamba dan pencipta. Di dalam Al-Quran, Allah telah berfirman:  

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ini menunjukkan bahawa Allah telah mensyariatkan supaya hamba-hambaNya berpuasa sebagaimana orang-orang terdahulu supaya kita tergolong dalam golongan orang bertaqwa. Tanpa mengikuti ajaran Allah dan RasulNya, keislaman seseorang boleh musnah kerana islam mengandungi 5 rukun yang perlu kita tegakkan, jika salah satu tidak ditegakkan, maka robohla tiang yang membina keislaman kita. Pelaksanaan ibadah fardhu (berpuasa sebulan di bulan Ramadhan) dengan sempurna akan mendapat ganjaran syurga dan diikuti amalan sunat akan menambahkan lagi pahala serta nilai sesuatu amalan. Allah SWT juga telah menjanjikan bahawa pintu-pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya, syaitan dan iblis akan dirantai serta dibelenggu, pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya bagi menyambut orang yang berpuasa dengan bersungguh-sungguh, ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, dihapuskan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu, amalam-amalan kebaikan yang menjadi syafaat di akhirat kelak selain syafaat dari Nabi Muhammad SAW, dimasukkan ke dalam syurga Allah antaranya pintu ar-Rayyan, doa-doa dimakbulkan Allah, Allah membebaskan hamba-hambaNya daripada api neraka dan dikurniakan dua (2) kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa serta ketika bertemu dengan Allah di akhirat nanti.

    Sesungguhnya banyak dugaan ketika kita melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Seperti umat-umat islam terdahulu, berlakunya peperangan di bulan Ramadhan. Antaranya, Perang Badar iaitu peperangan pertama umat islam dibawah pimpinan Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadhan tahun 624M. Kesukaran yang kita alami hari ini adalah jauh lebih daik dari sebelum ini kerana nikmatnya islam yang dibawa oleh Rasul Allah yang kita sayangi. Benar, masih banyak cabaran dan dugaan ketika ini, tetapi ingatlah janji dan kenikmatan yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya yang sabar dalam beribadah kepadaNya. Kesimpulannya, banyak kebaikan berpuasa untuk sesiapa yang mengerjakannya tidak kira agama dan bangsa malahan berlipat kali ganda kebaikannya buat semua umat Islam kerana bulan yang penuh rahmat dan kasih sayang Allah buat hamba-hambaNya yang beriman. Semoga Allah menerima puasa kita semua dan kita sama-sama bertemu di syurga Allah ar-Rayyan kelak. Insya-Allah dengan izin Allah.


 

16.2.25

Posting selepas 10 tahun

 ﷽

Assalamualaikum semua. Selepas 10 tahun baru ada peluang untuk menulis semula. Kali ini nak persoalkan adakah blogging masih diterima pada masa kini? Sukar dinafikan bahawa kebanyakkan blog-blog yang pernah saya terjah "blog hopping" serta ikuti sebagai "followers" sudah mati. Lebih kurang 97% blog sudah mati - tiada update, jadi advertisement blog, hilang, tidak dapat dikesan termasuklah blog-blog yang pernah saya tulis sebelum ini iaitu berkaitan konsumer dan islam. Saya lebih selesa untuk sesuatu blog itu mempunyai ciri-ciri unik tersendiri dan fokus ke arah satu matlamat. Jadi saya telah menulis banyak blog untuk mencapai matlamat saya tetapi sayangnya blog-blog tersebut hilang. Maksudnya apabila saya ketik laman sesawang tersebut, semua postingan serta maklumat telah hilang tanpa jejak. Mungkin akibat lama tidak login dan ditinggalkan.

Jadi, adakah blogging masih diterima pada masa kini? Kebanyakkan pengguna lebih kearah postingan video dari penulisan lebih-lebih lagi dengan adanya facebook, instagram, tiktok, youtube. Kalau ade postingan pun, penulisan di media sosial seperti facebook lebih digunakan berbanding blogging. Salah satu sebab adalah kerana postingan di facebook lebih mudah dibuat melalui telefon pintar berbanding blog yang leih mudah menggunakan komputer peribadi. Telefon pintar lebih mudah berbanding komputer peribadi kerana saiznya yang lebih kecil, boleh dibawa kemana-mana dan semestinya murah. Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan lebih 99% rakyat Malaysia kini miliki akses telefon mudah alih dan telefon pintar manakala hanya 80% penggunaan komputer di kawasan bandar direkodkan. Jadi kita boleh lihat perbezaan antara penggunaan telefon pintar berbanding komputer memainkan peranan penting untuk sesuatu perkara.

Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) oleh Pihak kerajaan pada tahun 2007 juga telah meningkatkan pencapaian jalur lebar (wifi access) yang juga memainkan peranan penting dalam penerimaan blogging. Pada tahun 2010, hanya 33% kadar langganan jalur lebar isi rumah. Bermaksud, kebanyakkan rakyat malaysia memilih untuk melayari internet di tempat kerja, sekolah, kolej atau di kafe siber. Kini kadar langganan jalur lebar isi rumah meningkat sehingga 98% di kawasan bandar dan 89% di kawasan luar bandar. Akibat dari melonjaknya penggunaan jalur lebar, lebih banyak aplikasi yang telah dibangunkan yang lebih mudah untuk diakses dan digunakan oleh pengguna. Jadi, kadar blogging yang terdahulu merosot akibat kebanyakkan orang lebih selesa untuk beralih ke aplikasi yang lebih mudah dan lebih pelbagai. 

Jadi, persoalannya adakah blogging masih diterima pada masa kini? Masih ada blogger yang aktif kerana kerjaya mereka sebagai "influencer" atau pempengaruh. Tidak kira mereka menggunakan khidmat web berbayar atau percuma seperti blogspot, ketika ini masih ada yang aktif. Lebih 10 tahun yang lepas, semasa melonjaknya penggunaan jalur lebar, ramai pelajar kolej dan pekerja menggunakan blog untuk berkongsi pendapat, ilmu atau mengikut-ikut teman mereka ber-"blog hopping". Kini apabila menginjak lebih dewasa dan merangkul lebih banyak tanggungjawab, blogger-blogger ini tidak lagi menggunakan blog sebagai media sosial yang aktif kerana kekangan masa dan akhirnya banyak blog yang mati. Pempengaruh masih aktif ber-blogging akibat dari kerjaya mereka mempromosikan jenama sendiri atau jenama pihak tertentu yang mampu mengubah pandangan, fikiran atau sebagainya kepada pengguna lain dengan sesuatu kadar bayaran. Jadi, kerjaya seseorang juga merupakan aspek penting atas penggunaan blogging.

Kita boleh lihat bahawa trend blogging masih ada tetapi tidak seperti dahulu akibat dari peralatan yang digunakan, kemudahan jalur lebar serta pekerjaan seseorang. Saya juga antara salah seorang blogger yang telah mula kurang blogging akibat dari sibuk belajar dan seterusnya mencari kerjaya yang kukuh. Hampir 10 tahun juga saya tidak mengelola blog ini dan masih bersyukur kerana tidak hilang dan masih ada pengguna yang melayari blog ini akibat dari postingan yang berunsurkan bahasa melayu seperti karangan, sinopsis dan tutorial. Di era gobalisasi, banyak perkara baharu muncul dan dibangunkan dan banyak juga yang tutup akibat kerugian. Walau apapun yang terjadi, kita harus ingat " Yang patah kan tumbuh, yang hilang kan kembali".

Terima kasih semua. Kalau ada rezeki untuk saya menulis lagi, dengan izin Allah akan menaip. Semoga penulisan ini dapat membantu mencapai syurga Allah yang tertinggi. 


17.12.14

Keterangan PEMBINA terhadap PMIUM pendukung marina dan ambiga?

 

Berkenaan dengan keterangan Nurul Ain binti Abdullah dan Nashrul Izwan bin Abdul Aziz dari Biro Media dan Penerangan, PEMBINA UM, yang mengatakan bahawa PMIUM mengalu-alukan kehadiran Marina Mahathir (merupakan Pengerusi ‘Sister In Islam’ (Sis) yang selama ini tidak putus-putus memperjuangkan hak-hak wanita yang bertentangan dengan syariat Islam) dan Ambiga selaku Pengerusi BERSIH yang selama ini lantang mencabar perkara-perkara dalam perlembagaan yang menjaga kesucian Islam dan hak orang Melayu juga merupakan pendokong Suruhanjaya Antara Agama (IFC), pembela kes murtad, penentang Mahkamah Syariah dan penganjur Seksualiti Merdeka 2011 (kebebasan seks). Saya ada terfikir juga, adakah PMIUM itu sendiri yang ‘ajak’ mereka? Pendapat saya, ‘mereka2’ (marina/ambiga) itu mungkin datang tanpa jemputan. Kalau ye pun dijemput, adakah mereka menyebarkan atau memberitahu ideologi2 mereka yang ditolak islam itu sendiri apetah lagi PMIUM kepada orang ramai? Mereka mungkin cuma hadir bagi memberi semangat kepada mahasiswa yang diperbodohkan oleh pihak universiti. Perlu ke sampai nak membangkitkan ke’negativ’an kedatangan mereka itu? Kalau ye pun menentang mereka, perlukah pihak PMIUM halau mereka? daripada berdemo kerana UM8, nanti timbul pula berdemo menentang ‘mereka2’ kerana berniat cuba untuk menyebarkan ideologi menentang islam. Apa ini?

Cuba fikir dari sudut yang lain. Luar kotak. Mungkin dengan keberadaan mereka2 itu akan timbul kesedaran bahawa perjuangan mereka2 itu salah dan mereka2 itu berubah. Boleh jadikan? Cuba bayangkan pula, anda punya seorang adik. Mungkin abang atau kakak yang dilabel seperti marina atau ambiga. Adakah anda akan menghalau mereka? Tidak layan sampai kiamat? Memulau mereka? Membantah mereka? Bila tiba hari perayaan,  niat mereka untuk menziarahi sanak-saudara, tapi dihalau? Bodohkan? Ideologi mereka mungkin berbeza dan patut ditolak, tetapi apabila kita menidakkan mereka juga ada batasnya. Takkan sampai orang2 seperti mereka ini nak memberi makanan pun kamu menidakkan? Seraya mengatakan kamu takkan makan dan sanggup mati dari memakan makanan yang diberikan oleh orang sedemikian? Bodoh. Cukup bodoh.

Bapa saudara nabi sendiri adalah penentang islam. Nabi menghalau diakah? Nabi benci diakah? Nabi berkata buruk tentang diakah? Tidak. Habistu, kau yang melabel PMIUM kononnya ‘bersama’ dengan orang2 yang menolak islam itu apa kes? Agenda berselindung? Boneka? Topeng? Tidak. Kau tidak layak untuk mengata dan memburukkan PMIUM. PEMBINA apa macam ni? Inikah hasil tarbiyah kamu?

Bodohla kau kalau nak menuduh aku seorang pengampu. Apetah lagi pendukung marina, ambiga dan sekutu. Aku Cuma nak menjawab keterangan ahli PEMBINA yang tidak matang. Islam memang menolak mereka, tapi bukan secara keseluruhan. 100%. Nabi sendiri pernah mengikut arahan bapa saudaranya sendiri yang menentang islam. Kenapa PMIUM tidak boleh ‘bersama’ dengan orang seperti ini? Islam agama yang mudah dan menyeluruh. Janganlah kita membenci seseorang kerana perangai mereka yang jahat, tetapi bencilah sikap mereka yang jahat. Bukan jasadnya.

Kalau kau tanya aku, aku terimakah mereka2 ini? Ya, aku terima jasad dan nasihat tapi bukan ideologi yang rosak itu. Bersama tidak semestinya menerima.


Sebelum melabel, bertanyalah dahulu. Sebelum menuduh, siasatlah dahulu. 

Maisarah Mazhar,
Hamba Allah.