27.2.25

Kebaikan Berpuasa di bulan Ramadhan (Kunci ar-Rayyan)

    ﷽

    Puasa adalah menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Sebagai seorang umat Islam, berpuasa di bulan Ramadhan adalah rukun Islam yang ke-empat yang wajib kita laksanakan. Antara rukun Islam yang lain adalah mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat fardhu lima kali sehari, menunaikan zakat dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan. Walaupun kita diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan, Allah memudahkan bagi mereka yang tidak mampu berpuasa atas sebab tertentu dengan menggantikannya di bulan-bulan yang lain dalam tempoh setahun sebelum kembalinya Ramadan yang baru. Sesungguhnya Allah Maha mengasihani dan Maha Penyayang. Kita digalakkan untuk melakukan persiapan sebelum berpuasa di bulan Ramadhan supaya kita mendapat barakah dan kebaikan yang ada didalamnya serta mengelakkan diri dari mendapat kerugian dan azab Allah. Oleh itu, marilah kita mengetahui kebaikan berpuasa sebulan di bulan Ramadhan untuk persiapkan diri kita dalam melayari bulan penuh keberkatan ini.

    Di Malaysia, yang kaya dengan pelbagai kaum, agama dan bangsa, bukan sahaja umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan, yang bukan Islam juga turut bersama-sama berpuasa kerana kebaikannya serta bagi menghormati umat Islam di sepanjang bulan Ramadhan. Sebagai contoh, Dr Soo Wincci, seorang pensyarah dan artis, telah mula berpuasa pada tahun 2011 dan terus melakukannya saban tahun. Rakaman videonya yang viral berkenaan kurma 'power ball' bersama @ceddyornot turut menjadi buah mulut bagi rakyat Malaysia yang mahu memulakan berpuasa dengan menu sahur yang sihat dan memberi tenaga sepanjang hari. @ceddyornot atau Ceddy Ang, seorang hos televisi, juga telah mula berjinak berpuasa sejak tahun 2023. Yang bukan Islam juga tahu bahawa banyak kebaikan berpuasa sebulan untuk menyucikan badan kita yang kerap makan pada setiap masa apatah lagi kita sebagai seorang umat Islam yang lebih berlipat kali ganda kebaikannya kerana kita melakukan ibadah hanya kerana Allah.

    Antara kebaikan berpuasa adalah dapat menangani masalah kesihatan dengan merehatkan sistem penghadaman dalam badan kita. Dengan kayanya sumber makanan dan kepelbagaian makanan yang sedap dan menarik di Malaysia, sukar untuk kita menolak makanan tempatan yang tersedia. Dengan suruhan Allah yang mewajibkan umat Islam berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, dapatlah kita membantu diri kita dengan merehatkan sistem penghadaman badan kita selama sebulan yang telah bekerja sepanjang tahun dimana dapat menangani masalah kesihatan. Berpuasa juga dapat menurunkan berat badan, menurunkan paras kolesterol darah, merendahkan tekanan darah, dan merendahkan kandungan gula dan trigliserida dalam darah. Nabi Muhammad SAW juga menegaskan bahawa 'perut adalah tempat bermulanya pelbagai jenis penyakit dan amalan pemakanan yang betul dapat menjadi ubat'. Benarlah berpuasa dapat membantu membaik pulih kesihatan badan kita kerana ramai pakar perubatan telah melakukan pelbagai ujian klinikal dan terbukti benar kata-kata Rasul kita dan Al-Quran. 

    Selain kebaikan kesihatan terhadap tubuh badan, berpuasa juga dapat menerapkan nilai murni yang tinggi dengan memahami kesukaran kehidupan seseorang yang miskin tanpa makanan dan minuman. Seperti yang kita ketahui, lebih 6% isi rumah di Malaysia adalah dalam kategori miskin tegar dimana mereka merujuk kepada golongan yang berpendapatan bulanan isi rumah yang kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) . Mereka juga terdiri daripada golongan rentan yang terdiri daripada wanita, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), orang miskin dan belia. Rata-rata rakyat Malaysia hidup sederhana dan cukup dengan pelbagai kemudahan makanan, minuman serta tempat tinggal dan sering kali lupa akan mereka yang hidup susah. Dengan berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, kita dapat merasakan susahnya kelaparan yang dirasai setiap hari oleh orang miskin. Semoga dengan ingatan ini, kita dapat sama-sama membantu mereka yang memerlukan kerana, "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".

     Selain itu, banyak kelebihan berpuasa dari segi spiritual iaitu antara hamba dan pencipta. Di dalam Al-Quran, Allah telah berfirman:  

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ini menunjukkan bahawa Allah telah mensyariatkan supaya hamba-hambaNya berpuasa sebagaimana orang-orang terdahulu supaya kita tergolong dalam golongan orang bertaqwa. Tanpa mengikuti ajaran Allah dan RasulNya, keislaman seseorang boleh musnah kerana islam mengandungi 5 rukun yang perlu kita tegakkan, jika salah satu tidak ditegakkan, maka robohla tiang yang membina keislaman kita. Pelaksanaan ibadah fardhu (berpuasa sebulan di bulan Ramadhan) dengan sempurna akan mendapat ganjaran syurga dan diikuti amalan sunat akan menambahkan lagi pahala serta nilai sesuatu amalan. Allah SWT juga telah menjanjikan bahawa pintu-pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya, syaitan dan iblis akan dirantai serta dibelenggu, pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya bagi menyambut orang yang berpuasa dengan bersungguh-sungguh, ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, dihapuskan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu, amalam-amalan kebaikan yang menjadi syafaat di akhirat kelak selain syafaat dari Nabi Muhammad SAW, dimasukkan ke dalam syurga Allah antaranya pintu ar-Rayyan, doa-doa dimakbulkan Allah, Allah membebaskan hamba-hambaNya daripada api neraka dan dikurniakan dua (2) kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa serta ketika bertemu dengan Allah di akhirat nanti.

    Sesungguhnya banyak dugaan ketika kita melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Seperti umat-umat islam terdahulu, berlakunya peperangan di bulan Ramadhan. Antaranya, Perang Badar iaitu peperangan pertama umat islam dibawah pimpinan Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadhan tahun 624M. Kesukaran yang kita alami hari ini adalah jauh lebih daik dari sebelum ini kerana nikmatnya islam yang dibawa oleh Rasul Allah yang kita sayangi. Benar, masih banyak cabaran dan dugaan ketika ini, tetapi ingatlah janji dan kenikmatan yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya yang sabar dalam beribadah kepadaNya. Kesimpulannya, banyak kebaikan berpuasa untuk sesiapa yang mengerjakannya tidak kira agama dan bangsa malahan berlipat kali ganda kebaikannya buat semua umat Islam kerana bulan yang penuh rahmat dan kasih sayang Allah buat hamba-hambaNya yang beriman. Semoga Allah menerima puasa kita semua dan kita sama-sama bertemu di syurga Allah ar-Rayyan kelak. Insya-Allah dengan izin Allah.


 

0 Comment(s):