﷽
Assalamualaikum semua. Selepas 10 tahun baru ada peluang untuk menulis semula. Kali ini nak persoalkan adakah blogging masih diterima pada masa kini? Sukar dinafikan bahawa kebanyakkan blog-blog yang pernah saya terjah "blog hopping" serta ikuti sebagai "followers" sudah mati. Lebih kurang 97% blog sudah mati - tiada update, jadi advertisement blog, hilang, tidak dapat dikesan termasuklah blog-blog yang pernah saya tulis sebelum ini iaitu berkaitan konsumer dan islam. Saya lebih selesa untuk sesuatu blog itu mempunyai ciri-ciri unik tersendiri dan fokus ke arah satu matlamat. Jadi saya telah menulis banyak blog untuk mencapai matlamat saya tetapi sayangnya blog-blog tersebut hilang. Maksudnya apabila saya ketik laman sesawang tersebut, semua postingan serta maklumat telah hilang tanpa jejak. Mungkin akibat lama tidak login dan ditinggalkan.
Jadi, adakah blogging masih diterima pada masa kini? Kebanyakkan pengguna lebih kearah postingan video dari penulisan lebih-lebih lagi dengan adanya facebook, instagram, tiktok, youtube. Kalau ade postingan pun, penulisan di media sosial seperti facebook lebih digunakan berbanding blogging. Salah satu sebab adalah kerana postingan di facebook lebih mudah dibuat melalui telefon pintar berbanding blog yang leih mudah menggunakan komputer peribadi. Telefon pintar lebih mudah berbanding komputer peribadi kerana saiznya yang lebih kecil, boleh dibawa kemana-mana dan semestinya murah. Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan lebih 99% rakyat Malaysia kini miliki akses telefon mudah alih dan telefon pintar manakala hanya 80% penggunaan komputer di kawasan bandar direkodkan. Jadi kita boleh lihat perbezaan antara penggunaan telefon pintar berbanding komputer memainkan peranan penting untuk sesuatu perkara.
Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) oleh Pihak kerajaan pada tahun 2007 juga telah meningkatkan pencapaian jalur lebar (wifi access) yang juga memainkan peranan penting dalam penerimaan blogging. Pada tahun 2010, hanya 33% kadar langganan jalur lebar isi rumah. Bermaksud, kebanyakkan rakyat malaysia memilih untuk melayari internet di tempat kerja, sekolah, kolej atau di kafe siber. Kini kadar langganan jalur lebar isi rumah meningkat sehingga 98% di kawasan bandar dan 89% di kawasan luar bandar. Akibat dari melonjaknya penggunaan jalur lebar, lebih banyak aplikasi yang telah dibangunkan yang lebih mudah untuk diakses dan digunakan oleh pengguna. Jadi, kadar blogging yang terdahulu merosot akibat kebanyakkan orang lebih selesa untuk beralih ke aplikasi yang lebih mudah dan lebih pelbagai.
Jadi, persoalannya adakah blogging masih diterima pada masa kini? Masih ada blogger yang aktif kerana kerjaya mereka sebagai "influencer" atau pempengaruh. Tidak kira mereka menggunakan khidmat web berbayar atau percuma seperti blogspot, ketika ini masih ada yang aktif. Lebih 10 tahun yang lepas, semasa melonjaknya penggunaan jalur lebar, ramai pelajar kolej dan pekerja menggunakan blog untuk berkongsi pendapat, ilmu atau mengikut-ikut teman mereka ber-"blog hopping". Kini apabila menginjak lebih dewasa dan merangkul lebih banyak tanggungjawab, blogger-blogger ini tidak lagi menggunakan blog sebagai media sosial yang aktif kerana kekangan masa dan akhirnya banyak blog yang mati. Pempengaruh masih aktif ber-blogging akibat dari kerjaya mereka mempromosikan jenama sendiri atau jenama pihak tertentu yang mampu mengubah pandangan, fikiran atau sebagainya kepada pengguna lain dengan sesuatu kadar bayaran. Jadi, kerjaya seseorang juga merupakan aspek penting atas penggunaan blogging.
Kita boleh lihat bahawa trend blogging masih ada tetapi tidak seperti dahulu akibat dari peralatan yang digunakan, kemudahan jalur lebar serta pekerjaan seseorang. Saya juga antara salah seorang blogger yang telah mula kurang blogging akibat dari sibuk belajar dan seterusnya mencari kerjaya yang kukuh. Hampir 10 tahun juga saya tidak mengelola blog ini dan masih bersyukur kerana tidak hilang dan masih ada pengguna yang melayari blog ini akibat dari postingan yang berunsurkan bahasa melayu seperti karangan, sinopsis dan tutorial. Di era gobalisasi, banyak perkara baharu muncul dan dibangunkan dan banyak juga yang tutup akibat kerugian. Walau apapun yang terjadi, kita harus ingat " Yang patah kan tumbuh, yang hilang kan kembali".
Terima kasih semua. Kalau ada rezeki untuk saya menulis lagi, dengan izin Allah akan menaip. Semoga penulisan ini dapat membantu mencapai syurga Allah yang tertinggi.
0 Comment(s):
Post a Comment