9.2.09

Karangan ulasan cerpan ( Aku, Kris, dan Kristal )



Judul Cerpen : Aku, Kris, dan KristalUSAflag
Nama Pengarang : Dima Mazlina
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun : 1993
Harga : RM 5.70
Cerpen yang telah saya baca baru-baru ini ialah "Aku, Kris, dan Kristal" karya oleh Dima Mazliana. Cerpen ini termuat dalam antologi "Kerusi" terbitan Dewan bahasa dan Pustaka pada tahun 1993. Saya memilih cerpen ini kerana penceritaannya yang sangat menarik dan terdapat unsur percintaan antara dua jurang yang amat berbeza.
Sinopsis cerpen ini ialah 'Aku' seorang gadis melayu yang melanjutkan pelajarannya di Britain. 'Aku' yang dimaksudkan disini ialah Hana, gadis dari Malaysia yang sedang belajar di Universiti College, Cardiff. Hana mempunyai dua orang kenalan berbangsa asing. Kenalan lelakinya ialah Kris manakala kenalan wanitanya ialah Kristal. Kris jatuh hati kepada Hana. Pada masa yang sama Kristal meminati Kris. Perhubungan Hana dan Kristal mulai renggang apabila Kristal mengetahui Hana dan Kris melancong ke Luxembourg. Hana cuba memberitahu Kristal tentang perhubungannya dengan Kris adalah sebagai kawan biasa. Hana seterusnya membuat pengakuan kepada Kristal bahawa dia sudah mempunyai tunang di tanah air. Kris yang merajuk apabila mengetahui bahawa Hana sudah bertunang membawa diri ke Jerman Barat. Kristal pula kecewa dengan tindakan Kris dan mulai rapat dengan Fitzgerald selepas ketiadaan Kris. Akhirnya, Kristal ditemui mati kerana terlalu banyak memakan pil tidur. Kristal terlalu kecewa dan berasa malu kerana selama ini perasaan cintanya tidak mendapat balasan daripada Kris. Akhirnya, pada suatu hari, Hana berasa terkejut apabila Kris muncul dengan tiba-tiba dan telah menukar agamanya menjadi seorang muslim.
Cerpen ini bertemakan kasih sayang yang berlandaskan kekuatan pegangan agama dan budaya masyarakat Timur. Persoalan yang terdapat di dalam cerpen ini ialah persahabatan yang merentas sempadan agama dan budaya. Hana yang beragama Islam dan berasal dari Timur dapat menjalin persahabatan dengan Kris dan Kristal yang berbeza agama dan budaya. Selain itu, didikan agama yang sempurna dapat mengukuhkan dan memantapkan iman. Berkat bekalan dan didikan agama yang sempurna, Hana dapat mempertahankan imannya dari tergoda oleh budaya hidup Barat yang serba bebas. Seterusnya, menuntut ilmu merupakan suatu kewajiban. Hana melanjutkan pelajaran ke luar negara demi menuntut ilmu pengetahuan. Selain itu, perbezaan budaya hidup masyarakat Timur dan Barat. Anak-anak muda di Barat sering berfoya-foya dan bergaul bebas, berbeza dengan nak-anak muda masyarakat Timur.

Plot cerpen ini tidak mengikut kronologi. Eksposisi cerpen mengisahkan perkenalan watak Hana setelah tiga tahun menuntut di Britain dan mengimbas peristiwa lalu. Perkembangan cerpen ini adalah ketika perkenalan Hana dengan Kris dan Kristal. Perumitan berlaku ketika Hana dicemburui oleh Kristal kerana rapat dengan Kris. Klimaks pula berlaku ketika Hana menolak cinta Kris dan Kristal membunuh diri. Peleraian cerpen ini berlaku apabila Kris mengunjungi Hana dan telah menganut agama Islam.
Cerpen "Aku, Kris dan Kristal" ini telah didukung oleh beberapa watak yang menarik. Watak utamanya ialah Hana. Perwatakan Hana menggambarkan seorang yang positif, berhemah tinggi, pandai mengambil hati orang, kuat pegangan agama, berpegang pada adab ketimuran dan mendengar nasihat. Watak-watak sampingan di dalam cerpen ini ialah Kris dan Kristal. Prwatakan Kris ialah seorang yang suka membantu dan mudah berputus asa. Perwatakan Kristal pula ialah seorang yang cemburu dan bersikap terlalu emosional serta mudah berputus asa.
Cerpen ini mempunyai beberapa nilai dan pengajaran yang Universal. Nilai kasih sayang ditunjukkan oleh Kris yang sangat menyayangi Hana dan sanggup bertukar agama kerananya. Nilai tegas ditunjukkan oleh Hana dalam pergaulan dan menolak segala rayuan dan pengaruh Barat oleh Kris. Nilai bijaksana ditunjukkan oleh Hana kerana berpeluang melanjutka pelajaran di luar negara. Nilai berdikari ditunjukkan oleh Hana ketika berada di perantauan yang jauh dari keluarga dan sanak-saudara. Pengajaran yang dapat dikesan dalam cerpen "Aku, Kris, dan Kristal" ialah kita hendaklah mempertahankan budaya dan pegangan agama walau di mana-mana pun kita berada. Sebagai contah, Hana berpeganag kuat pada ajaran agama dan kebudayaan semasa berada diluar negara. Selain itu, manusia hendaklah pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran dan masyarakat. Sebaga contoh, Hana pandai menyesuaikan diri dan bergaul dengan masyarakat Barat tempat dia belajar. Seterusnya manusia hendaklah mengelakkan sikap cepat berputus asa apabila menghadapi kekecewaan. Sebagai contoh, tindakan Kristal yang membunuh dirinya dengan memakan pil tidur yang banyak tidak patut dijadikan teladan yang baik. Selain itu, kita hendaklah saling menghormati sesama manusia walaupun berlainan agama dan bangsa. Sebagai contoh, Hana yang menghormati Mrs Doogan, walaupun setelah tidak lagi tinggal di rumah wanita Inggeris itu.
Kesimpulannya, cerpen ini memberikan manfaat dan teladan yang wajib ikuti dan tidak wajib ikuti kepada pembaca. Isu membunuh diri amat popular dikalangan remaja sebagai salah satu cara untuk melepaskan diri dari sebarang masalah yang wajib dielakkan.

2 Comment(s):

mieza, said...

thx for the sinopsis! tgh desperate nak buat folio bm

P.Mahasiswa said...

hehehe.. sama-sama..