skip to main |
skip to sidebar
Guru memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang. Huraikan peranan guru kepada seseorang pelajar. Dalam era globalisasi, guru memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk seseorang pelajar. Guru diibaratkan sebagai ibu dan bapa kedua bagi pelajar. Hal ini bermaksud guru memainkan peranan yang penting untuk mencorakkan masa depan pelajar. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah yang dilakukan oleh guru kepada seseorang pelajar dalam menaburkan bakti dan jasa yang tidak ternilai harganya. Guru diumpamakan lilin yang sanggup membakar dirinya demi kepentingan anak muridnya. Peranan dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap individu itu. Dari kecil hinggalah menjawat jawatan yang hebat, semua itu adalah hasil ajaran dan didikan guru di sekolah, pun begitu, dunia hari ini semakin maju dan bergerak pantas seiring dengan era ledakan maklumat ini, guru tidak terkecuali merasai tempiasnya. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa guru amat memainkan peranan yang penting kepada seseorang pelajar. Peranan guru kepada pelajar ialah mengajar pelajar tentang mata pelajaran tertentu yang telah diamanahkan supaya pelajarnya mencatat kejayaan yang cemerlang. Memang tidak dapat dinafikan bahawa seseorang guru amat menginginkan kejayaan anak muridnya tidak kira murid itu pandai atau tidak. Dengan hasil kejayaan anak muridnya, seseorang guru itu pasti merasakan dirinya dihargai dan gembira serta bangga kerana mendapat seorang pelajar yang cemerlang. Dalam dunia yang fana ini, semua orang inginkan kejayaan yang cemerlang. Dengan kejayaan yang diperoleh, mereka pasti tidak akan lupa akan jasa dan bakti yang dicurahkan oleh guru-guru mereka. Sebagai contohnya, guru yang tidak lekang mengajar pelajarnya sehingga anak muridnya berjaya mencapai cita-cita pasti akan sentiasa diingati oleh pelajar terbabit. Tidak kisahlah mata pelajaran apa yang diajar oleh seseorang guru itu, asalkan ia memberi suatu pengajaran yang tidak dapat dilupakan oleh pelajar dan seterusnya membimbing pelajar itu ke arah masa depan yang lebih cerah. Oleh itu, peranan guru dalam mendidik seseorang pelajar amat penting dalam mencapai kejayaan yang cemerlang. Seterusnya, guru perlulah mendidik pelajar dengan menunjukkan contoh dan teladan yang baik. Dengan menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada anak muridnya, seseorang guru itu pasti akan diingati pelajarnya kerana gurunya amat ramah dan mempunyai teladan yang baik untuk dijadikan contoh. Antara teladan yang boleh diberikan kepada pelajar ialah sentiasa menasihati pelajar tentang pentingnya pelajaran dan kejayaan yang cemerlang. Guru juga perlu menerapkan sikap bersatu kita teguh, bercerai kita roboh kepada pelajarnya supaya mereka tidak akan tersisih dari sebarang kejayaan kerana persaingan antara pelajar yang semakin hebat. Sebagai contohnya, jika seseorang pelajar itu tidak mengendahkan kata-kata guru, guru itu boleh menasihati dan sentiasa bertegur sapa dengan murid itu. Dengan ini, guru itu akan menunjukkan bahawa pentingnya slogan budi bahasa budaya kita. Seterusnya, pelajar itu pasti akan merasa malu dan dia pasti akan berubah sikapnya supaya menjadi seorang yang berbudi kerana ditegur oleh gurunya sendiri. Oleh itu, guru memainkan peranan yang penting dalam mendidik pelajarnya tentang sahsiah yang akan membuatkan seseorang pelajar itu lebih gemilang. Selain itu, seseorang guru perlu memberikan nasihat dan panduan demi masa depan pelajar. Dengan nasihat yang berguna, seseorang pelajar itu pasti merasakan dirinya amat penting dalam menggembirakan hati gurunya dengan mencapai kejayaan yang cemerlang. Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga. Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa. Dengan sentiasa mengamalkan peribahasa ini, seseorang pelajar itu pasti akan mengikuti jejak langkah gurunya. Ini kerana, kehidupan yang terlalu bersifat materialistik, teknologi,kemewahan dan hiburan boleh menjejaskan keinginan manusia kepada Tuhan. Dalam keadaan kekosongan inilah guru boleh membina kekuatan dalaman iaitu kerohanian menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kerohanian yang mantap dan suci akan membina intelek yang sihat, emosi yang stabil dan jasmani yang sejahtera. Keharmonian dan keseimbangan potensi rohani, intelek, emosi dan jasmani akan menyubur dan meningkatkan kepercayaan pelajar kepada Tuhan. Pembinaan kekuatan dalaman ini mudah dilaksanakan jika guru menjalankan tugasnya sebagai ibadah dengan matlamat membangunkan insan. Apabila guru berjaya melaksanakan pendidikan akhlak pada peringkat awal, maka akan lahirlah pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua aspek iaitu akademik dan sahsiah. Di samping itu, guru perlulah mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada semua pelajar. Ini bermaksud, seseorang guru itu tidak bolehlah pilih kasih dalam memilih pelajar. Jika seseorang guru itu, mengamalkan sikap sedemikian rupa, para pelajarnya pasti akan memandang serong terhadap guru terbabit. Seterusnya, guru tersebut tidak dapat memberikan pengajarannya kepada murid-murid kerana pelajar tidak berasa tenang ketika guru tersebut mengajar. Dengan ini, pembelajaran seseorang pelajar itu pasti akan merosot. Sebagai contohnya, jika seseorang guru itu hanya mengajar dan memuji pelajar kesayangannya, pelajar yang lain pasti akan berasa dirinya tidak berguna dan akhirnya keputusan peperiksaan pelajar terbabit akan merosot kerana sikap tidak adil yang ditunjukkan oleh seseorang guru. Bagai mencurahkan air ke daun keladi. Begitulah yang akan berlaku kepada seseorang pelajar jika seseorang guru itu mengamalkan sikap pilih kasih. Pendidikan adalah pemangkin kepada pembinaan Negara Bangsa terutama bagi menyemai semangat kenegaraan khususnya pada peringkat awal pelajar dan diteruskan pada peringkat yang tinggi. Usaha perlu diteruskan untuk memperkukuh perkongsian nilai dan patriotisme melalui aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum etnik di sekolah. Di sinilah peranan dan tanggungjawab guru memainkan peranan. Walau bagaimana pun, semua usaha ke arah membina bangsa perlu perancangan yang teliti dan berterusan. Genggam bara api biar sampai jadi arang perlulah diterapkan dalam diri setiap warga pendidik. Dengan mengamalkan sikap positif yang sedemikian rupa, guru terbabit pasti berjaya dalam mendidik pelajarnya sehingga ke menara gading. Peranan guru sangat penting kerana mana-mana individu yang menjadi pemimpin besar sesebuah negara telah dididik hingga berjaya kerana peranan guru di sekolah atau di universiti. Diharapkan nilai-nilai yang telah ditanam dan dipupuk di peringkat sekolah ini akan terus diamalkan oleh pelajar apabila mereka meninggalkan alam persekolahan. Secara tidak langsung wawasan membina negara bangsa dengan sendirinya akan tercapai.
0 Comment(s):
Post a Comment