Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Dengan mendapat kejayaan yang cemerlang, masa depan anak-anak mereka akan terjamin. Oleh itu, ibu bapa cuba untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Oleh sebab itu, peranan ibu bapa dan keluarga amat penting dalam kejayaan anak-anak mereka yang seterusnya akan membuahkan hasil.
Sebagai seorang bapa yang memikul tanggungjawab yang besar dalam sesebuah keluarga, mereka perlulah bekerja mencari nafkah untuk kepentingan anak-anak mereka. Jika seseorang anak itu tidak mempunyai bapa atau yatim piatu, penjaga mereka terpaksa memikul tanggungjawab yang diamanahkan supaya kejayaan anak-anak dicapai. Dengan nafkah atau mata pencarian yang diperolehi, anak-anak itu dapatlah menggunakan duit untuk membeli bahan rujukan pelajaran atau pembayaran bagi pelajar yang mengambil kelas tambahan. Sebagai contohnya, bapa perlulah bekerja untuk membayar yuran sekolah anak-anak mereka supaya anak-anak dapat meneruskan pembelajaran mereka dengan selesa.Oleh itu, bapa perlulah mencari nafkah untuk anak-anak mereka.
Selain itu, ibu bapa dan keluarga perlu mendidik anak-anak dengan memberikan nasihat, pengajaran, dan memotivasikan anak-anak supaya tidak mudah berputus asa. Dengan ini, anak-anak akan berasa bersemangat untuk belajar kerana didorong oleh sikap positif seperti ini. Anak-anak juga berasa kejayaan dirinya amat penting dalam sesebuah keluarga sebagai akibat dorongan dan nasihat daripada ibu bapa dan keluarga. Dengan ini, anak-anak akan mencuba memantapkan diri dalam bidang pelajaran dan seterusnya kejayaan yang diimpi menjadi kenyataan. Sebagai contohnya, dorongan yang diberikan oleh kaum keluarga di samping memberikan hadiah kepada pelajar akan membangkitkan semangat untuk berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran. Oleh itu, didikan dan dorongan oleh kaum keluarga amat penting supaya kejayaan anak-anak dalam pelajaran dicapai.
Seterusnya, kasih sayang daripada ibu bapa dan keluarga kepada anak-anak akan mendorong anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran. Seperti yang kita ketahui, kekuatan kasih sayang dapat mengukuhkan perasaan cinta kepada keluarga dan dapat menghapuskan perasaan duka seseorang. Kasih sayang yang dimaksudkan di sini ialah kekerapan ibu bapa dan keluarga mengambil berat tentang pelajaran anak-anak mereka dan bagaimanakah perasaan mereka ketika mengharungi zaman remaja. Sebagai contohnya, ibu bapa dan keluarga yang memberikan kasih sayang yang secukupnya dapat menjadikan hasrat mereka untuk melihat anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran termakbul. Oleh itu, kasih sayang perlulah ditunjukkan oleh ibu bapa dan keluarga terhadap anak-anak mereka supaya kejayaan yang diimpi tercapai.
Kesimpulannya, jelaslah bahawa peranan ibu bapa dan keluarga untuk menentukan kejayaan anak-anak mereka dalam bidang pelajaran amat penting. Oleh itu, ibu bapa dan keluarga perlulah memberikan dorongan kepada anak-anak mereka supaya kejayaan anak-anak yang diharapkan oleh mereka tercapai. Dengan tiadanya dorongan daripada ibu bapa dan keluarga, anak-anak mungkin berasa kurang bersemangat dan akhirnya tidak berjaya dalam bidang pelajaran. Oleh sebab anak-anak merupakan pewaris kaum keluarga dan bakal menuju ke alam yang lebih mencabar, ibu bapa dan keluarga perlulah mendidik anak-anak mereka supaya masa depan mereka lebih cerah dan teratur.
Hasil : Maisarah 5C
2 Comment(s):
Karangan ni keluar dalam SPM 2009.
hehehe.. terima kasih c. ghalib.. cikgu yg suruh sy buat.. dan keluar dlm SPM09.. mmg untung ada cikgu..
Post a Comment