26.6.09
Biodata pengarang -novel.
Label(s) bahasa melayu®
Peranan watak utama .
Label(s) bahasa melayu®
Peranan Ibu bapa dan keluarga.
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Dengan mendapat kejayaan yang cemerlang, masa depan anak-anak mereka akan terjamin. Oleh itu, ibu bapa cuba untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Oleh sebab itu, peranan ibu bapa dan keluarga amat penting dalam kejayaan anak-anak mereka yang seterusnya akan membuahkan hasil.
Sebagai seorang bapa yang memikul tanggungjawab yang besar dalam sesebuah keluarga, mereka perlulah bekerja mencari nafkah untuk kepentingan anak-anak mereka. Jika seseorang anak itu tidak mempunyai bapa atau yatim piatu, penjaga mereka terpaksa memikul tanggungjawab yang diamanahkan supaya kejayaan anak-anak dicapai. Dengan nafkah atau mata pencarian yang diperolehi, anak-anak itu dapatlah menggunakan duit untuk membeli bahan rujukan pelajaran atau pembayaran bagi pelajar yang mengambil kelas tambahan. Sebagai contohnya, bapa perlulah bekerja untuk membayar yuran sekolah anak-anak mereka supaya anak-anak dapat meneruskan pembelajaran mereka dengan selesa.Oleh itu, bapa perlulah mencari nafkah untuk anak-anak mereka.
Selain itu, ibu bapa dan keluarga perlu mendidik anak-anak dengan memberikan nasihat, pengajaran, dan memotivasikan anak-anak supaya tidak mudah berputus asa. Dengan ini, anak-anak akan berasa bersemangat untuk belajar kerana didorong oleh sikap positif seperti ini. Anak-anak juga berasa kejayaan dirinya amat penting dalam sesebuah keluarga sebagai akibat dorongan dan nasihat daripada ibu bapa dan keluarga. Dengan ini, anak-anak akan mencuba memantapkan diri dalam bidang pelajaran dan seterusnya kejayaan yang diimpi menjadi kenyataan. Sebagai contohnya, dorongan yang diberikan oleh kaum keluarga di samping memberikan hadiah kepada pelajar akan membangkitkan semangat untuk berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran. Oleh itu, didikan dan dorongan oleh kaum keluarga amat penting supaya kejayaan anak-anak dalam pelajaran dicapai.
Seterusnya, kasih sayang daripada ibu bapa dan keluarga kepada anak-anak akan mendorong anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran. Seperti yang kita ketahui, kekuatan kasih sayang dapat mengukuhkan perasaan cinta kepada keluarga dan dapat menghapuskan perasaan duka seseorang. Kasih sayang yang dimaksudkan di sini ialah kekerapan ibu bapa dan keluarga mengambil berat tentang pelajaran anak-anak mereka dan bagaimanakah perasaan mereka ketika mengharungi zaman remaja. Sebagai contohnya, ibu bapa dan keluarga yang memberikan kasih sayang yang secukupnya dapat menjadikan hasrat mereka untuk melihat anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran termakbul. Oleh itu, kasih sayang perlulah ditunjukkan oleh ibu bapa dan keluarga terhadap anak-anak mereka supaya kejayaan yang diimpi tercapai.
Kesimpulannya, jelaslah bahawa peranan ibu bapa dan keluarga untuk menentukan kejayaan anak-anak mereka dalam bidang pelajaran amat penting. Oleh itu, ibu bapa dan keluarga perlulah memberikan dorongan kepada anak-anak mereka supaya kejayaan anak-anak yang diharapkan oleh mereka tercapai. Dengan tiadanya dorongan daripada ibu bapa dan keluarga, anak-anak mungkin berasa kurang bersemangat dan akhirnya tidak berjaya dalam bidang pelajaran. Oleh sebab anak-anak merupakan pewaris kaum keluarga dan bakal menuju ke alam yang lebih mencabar, ibu bapa dan keluarga perlulah mendidik anak-anak mereka supaya masa depan mereka lebih cerah dan teratur.
Hasil : Maisarah 5C
Label(s) bahasa melayu®
12.6.09
6.6.09
Merdeka.
31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat bagi negara Malaysia. Tanpa disedari, banyak peristiwa dan insiden yang berlaku sejak tarikh keramat itu. Kita semua telah berjaya membina sebuah negara yang menyerlah hasil jerih perih dicengkam penjajah sebelum ini. Kita berjaya menyemai benih-benih kemakmuran dan kini menikmati manisnya hasil keringat pemimpin terdahulu. Lebih penting lagi kita telah membawa bersama sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk selain dilimpahi dengan semangat muhibah, tidak ketinggalan juga bersatu dalam perkongsian kejayaan pada masa depan. Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa bangga, megah dan gembiranya rakyat Malaysia untuk melihat negara tercinta keluar dari kepompong British setelah dijajah selama lebih 170 tahun. Laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka masih segar dalam ingatan dan menjadi sebuah memorabilia yang manis bukan sahaja kepada mereka yang hidup kira-kira setengah abad yang lalu bahkan juga generasi muda kini.
Hakikatnya, hasrat untuk mengecapi dan menghirup udara kemerdekaan tidak mungkin menjadi kenyataan jika tidak kerana perjuangan yang dipelopori oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara seperti Allahyarham Dato Onn bin Jaafar, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambathan. Dalam lembaran sejarah yang panjang, usia 50 tahun itu begitu cepat berlalu. Apabila rentang masa itu diukur dalam kerangka sejarah manusia, 1957 seolah-olah sekelip mata sahaja detiknya. Segala harapan, jangkaan dan aspirasi negara kini berada pada puncaknya di saat rakyat Malaysia melangkah ke era baru melepasi zaman keemasan yang dinikmati dalm suasana aman, maju dan makmur.
‘Malaysiaku Gemilang’, begitulah tema hari kemerdekaan yang ke-50 negara Malaysia. Sambutan jubli emas negara dilimpahi dengan perasaan keyakinan. Tamsilannya, hasil usaha bersungguh-sungguh rakyat Malaysia selama lima dekad yang lepas walaupun melalui pelbagai kesukaran dan halangan berjaya menghasilkan kemerdekaan buat negara dan menunjukkan bahawa mereka secara semulajadinya tidak canggung untuk bekerja bersama-sama dan maju seiringan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara tahun ini sebagai yang paling manis dan bermakna baginya. Bekas presiden MCA (Malaysian Chinese Association), Tun Dr Ling Liong Sik pula berharap supaya keharmonian yang wujud pada masa ini akan berterusan buat selama-lamanya. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memuji acara sambutan jubli emas negara tahun ini yang dianggap berjaya mengangkat martabat wanita di era moden. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien pula turut memuji komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh peserta perarakan. Ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai para pemimpin yang begitu komited dalam menjalankan tugas untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Tambahan pula, Presiden Singapura, S.R. Nathan menghantar perutusan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Beliau juga mengatakan di dalam suratnya yang 50 tahun pertama Malaysia meninggalkan kesan kemajuan dan pembangunan yang amat memberangsangkan. Selain itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong turut menghantar ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Hal ini izhar menunjukkan yang Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan negara jiran. Sebelum mencapai kemerdekaan, Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu pernah dijajah oleh Inggeris, Portugis, Jepun dan Belanda. Walaupun sebahagian dari negara di Asia Tenggara pernah dijajah oleh lebih dari satu kuasa penjajah, hanya satu kuasa penjajah sahaja yang mempunyai kesan dominan ke atas sistem politik negara berkenaan. Akhirnya, Malaysia menerima sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan bermodelkan sistem politik Inggeris.
Kehidupan rakyat yang serba kekurangan dan tidak mendapat hak yang sewajarnya pada lima dekad yang lalu wajar dijadikan iktibar untuk belia masa kini. Perjuangan rakyat yang tidak mengenal erti putus asa dalam kehidupan mereka telah menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang cepat membangun dari segi ekonomi dan politik. Tambahan pula, eknomi dan politik negara telah berkembang pesat dan mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Selain itu, perkembangan dalam bidang perindustrian dan pengangkutan telah berjaya membuka mata dunia untuk mengenali Malaysia.
Dalam 50 tahun kebelakangan ini, kita telah menyaksikan lambakan pencapaian yang membanggakan. Kejayaan terbaiknya ialah dalam memperkasakan penduduk luar bandar. Tambahan pula, 50 tahun dahulu, separuh daripada penduduk negara hidup di bawah garis kemiskinan. Kini, hanya tinggal lima peratus daripada jumlah penduduk yang sudah bertambah empat kali ganda jumlahnya dan ia disasarkan mencapai sifar kemiskinan dalam tempoh tiga tahun.
Di samping itu, pencapaian yang turut dimegahkan ialah walaupun kecil dari segi saiz geografinya, ia sudah menjadi sebuah daripada 20 negara perdagangan utama di dunia.. Selain itu, dalam pembangunan sosio-ekonomi, satu daripada asasnya ialah Dasar Ekonomi baru (DEB) yang matlamatnya untuk membasmi kemiskinan dan memberi kuasa ekonomi kepada semua kaum. Malaysia juga telah mencapai kejayaan besar dalam membangunkan industri komunikasi dan multimedianya, dengan kemuncak kejayaannya ialah pengwujudan Koridor Raya Multimedia yang telah membawa negara ke mercu saingan ICT global. Kejayaan mencipta jenama telefon bimbit sendiri iaitu M. Mobile telah berjaya menempa nama Malaysia sebagai sebuah negara pembuat telefon bimbit.
Kronologi kejayaan Malaysia dalam membina sebuah negara yang membangun adalah dengan bermulanya pembinaan Bangunan Parlimen pada tahun 1963. Pada tahun 1966, Tugu Negara telah dibina bagi mengenang jasa wira-wira negara yang sanggup menggadai nyawa demi tanah air tercinta. Satu lagi kejayaan negara adalah dengan mengeluarkan kereta nasional pertama, Proton, pada tahun 1985. Kini sektor automotif negara semakin membina reputasi bukan hanya kerana membuat kenderaan sendiri tetapi juga keupayaaan teknologi dan kejuruteraannya serta dalam bidang eksport komponen dan alat ganti.
Selain itu, pembinaan Menara Berkembar Petronas (1997), yang pada satu ketika merupakan bangunan tertinggi di dunia, bukanlah semata-mata menjadi mercu tanda ternama negara tetapi sebenarnya mempamerkan kemampuan dan kehandalan sektor pembinaan dan kejuruteraan Malaysia. Hal ini, telah menyebabkan kontraktor Malaysia mendapat tawaran besar pekerjaan di luar negara, terutama di Asia Tenggara dan Timur Tengah. Selain itu, rangkaian Lebuhraya Timur-Barat (1983) dan Lebuhraya Utara-Selatan (1994) serta pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) pada tahun 1998 turut mewarnai cabang kemampuan dan kredibiliti Malaysia. Tambahan pula, terowong SMART yang baru selesai dibina menunjukkan kebolehan Malaysia yang berjaya menggabungkan terowong tebatan banjir dan jalan raya dalam satu infrastruktur bak kata pepatah, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.
Rakyat Malaysia secara individu telah lama mengukir nama mereka di seluruh pelosok dunia sama ada sebagai saintis, pereka fesyen, pelayar, ahli akademik atau politik. Seorang daripadanya ialah Datuk Jimmy Choo yang berpangkalan di London, seorang pereka kasut yang halus seninya sehingga berjaya menambat hati banyak pelanggan terkemuka dan salah seorangnya ialah mendiang Puteri Diana. Malaysia juga berjaya melahirkan Zhang Toi, seorang pereka fesyen yang amat berpengaruh dan beroperasi di New York dan Datuk Michelle Yeoh, seorang aktres Hollywod yang dikenali sebagai gadis “Bond” selepas berlakon dalam salah satu daripada siri filem James Bond. Di samping itu, Malaysia turut berbangga mempunyai pelayar lagenda, Datuk Azhar Mansor yang berjaya menempa namanya dalam sejarah negara menjadi rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo mengikut laluan baru timur-barat-timur, meliputi lebih daripada 25,000 batu nautika. Satu kejayaan yang belum pernah dicapai pelaut lain, termasuk zaman Ferdinand Magellan dari Sepanyol dan Sir Francis Drake dari Britain. Mereka ini telah berjaya membuktikan yang rakyat Malaysia mampu untuk bersaing dengan bangsa lain.
Malaysia juga telah berjaya menaikkan imej sukan negara di peringkat antarabangsa. Penganjuran Sukan Komanwel pada tahun 1998 membuktikan kredibiliti Malaysia dalam menganjurkan sukan di peringkat antarabangsa. Selain itu, penganjuran Sukan Sea juga telah berjaya meningkatkan mutu sukan negara. Malaysia juga tidak ketandusan atlet-atlet yang berwibawa. Buktinya, lihat sahaja kejayaan Nicol Ann David, anak kelahiran Pulau Pinang yang berjaya merangkul Kejuaraan Dunia sekaligus merampas kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia dan sehingga kini tiada siapa yang dapat menggugatnya. Selain itu, Malaysia telah berjaya merangkul emas dalam tempoh 30 tahun dalam Sukan Asia di Doha melalui beregu emas, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong. Usia yang muda tidak mampu menghalang mereka daripada mengharumkan nama negara di persada dunia. Tidak mustahil mereka mampu menggapai gelaran pemain nombor satu dunia tidak lama lagi. Era kegemilangan bola sepak negara pada zaman Mokhtar Dahari mungkin dapat dikembalikan melihat kepada perkembangan bola sepak negara baru-baru ini. Kecemerlangan yang ditunjukkan oleh skuad bola sepak bawah 19 tahun semasa menentang Chelsea amat membanggakan dan kemenanangan yang diperoleh skuad bola sepak bawah 23 tahun negara dengan mengalahkan Myanmar pada Pestabola Merdeka menunjukkan kebangkitan skuad bola sepak negara.
Kestabilan politik sejak zaman Perikatan sehingga kepada Barisan Nasional hari ini dibina berasaskan kepada perkongsian kuasa, kompromi dan toleransi. Pengalaman Malaysia dipandu oleh pembuatan dasar yang pragmatik. Malaysia tidak pernah berideologi dalam isu pembangunan dan kita lebih gembira untuk memilih secara bersama sebuah strategi yang mempunyai variasi daripada keperlbagaian ideologi demi menyesuaikan keperluan pada masa ini. Namun, sesungguhnya, kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan yang diperolehi. Awan mendung menunggu kita di luar sana, di mana dengan arus globalisasi yang kian mendesak negara-negara maju menjadi lebih berdaya saing. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), negara memberikan perhatian khusus kepada keperluan mengenal pasti strategi ekonomi yang betul. Dalam hal ini, kerajaan komited dalam memastikan RMK-9 akan berjalan lancar mengikut perancangan.
Kemerdekaan negara membuktikan yang kita mewujudkan lapisan pemimpin yang prihatin terhadap kebajikan rakyat pimpinan mereka. Kita dapat lihat bahawa masyarakat sudah bijak dalam memilih pemimpin dan tamsilannya sudah ramai
pemimpin yang tidak berwibawa dan korup terpinggir dan disisihkan. Perdana Menteri sekarang banyak mengamalkan toleransi yang membuatkan ramai pihak segan dan mengagumi cara kepimpinan beliau.
Era kegemilangan Malaysia yang akan datang sudah pun berada pada landasan untuk satu kejayaan awal di luar muka bumi ini iaitu dengan menghantar seorang warga Malaysia ke angkasa lepas. Angkasawan pertama Malaysia akan diterbangkan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan menaiki sebuah pelancar roket Russia. Pada ketika ini, pilihan angkasawan negara adalah Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr Faiz Khaleed untuk menjadi warga Malaysia pertama melihat negaranya dari angkasa lepas. Oleh itu, sesungguhnya seluruh warga Malaysia memang wajar merayakan zaman keemasan negara ini untuk bersama-sama melangkah ke satu lagi era kemasyhuran negara.
Malaysia pernah dijenamakan sebagai negara pertanian pada awal sejarah penubuhannya. Hal ini diperkuatkan lagi dengan Rancangan Buku Hijau, kewujudan Felda, Felcra, Risda, Porim dan lain-lain badan dan agensi yang bertanggungjawab sebagai badan pelaksana, perancang dan juga pemberi input dari segi kepakaran dan teknologi untuk rancangan pertanian bersepadu di seluruh negara. Namun, adakah negara kita akan maju jika masih dijenamakan sebagai sebuah negara pertanian, mahupun sebagai sebuah negara tempat persingghan barangan sebelum menjadi suatu produk lengkap?. Tidak ada ertinya kemerdekaan jika kita maju dalam acuan yang ditentukan oleh orang lain. Kita perlulah membina suatu empayar ekonomi yang disegani yang akan menaungi negara-negara lain. Malaysia perlu menjadi tempat rujukan dalam pelbagai aspek, baik dari segi pembangunan, pendidikan, sosial, agama dan lain-lain bidang yang dapat membantu keamanan dan kestabilan sejagat.
Negara kita amat bertuah kerana dasar-dasar yang diamalkan oleh kerajaan merentas zaman dan juga merentas batasan kaum dan agama. Lima puluh tahun yang akan datang, bagaimanakah kita ingin menceritakan kepada generasi akan datang mengenai 50 tahun yang telah berlalu. Adakah ketika kita menyambut kemerdekaan yang ke-100 pada tahun 2057, masyarakat pada zaman tersebut akan kenal Bapa Kemerdekaan dan Bapa pembanguna Malaysia?. Lima puluh tahun yang telah berlalu adalah penentu kepada lima puluh tahun yang akan datang. Kejayaan negara kita dibina menerusi usaha semua pihak bak kata pepatah, ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Pelbagai proses pahit manis dilalui sejak lima dekad lalu seharusnya dijadikan teladan dan sempadan untuk Malaysia mengharungi 50 tahun yang akan datang.
Malaysia perlu kekal mengamalkan dasar perkongsian kuasa bijak antara kaum yang perlu dicontohi negara lain. Dengan kata lain, dasar yang diwujudkan kerajaan sesuai untuk diaplikasikan semua warganeagara tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan. Sebagai contoh, pendekatan Islam Hadhari yang diterima baik bukan sahaja golongan beragama Islam malah diterima segenap lapisan masyarakat. Jika dulu ‘siapa kuat akan menang’, sekarang ‘siapa mengamalkan pengurusan dan pentadbiran yang bersih akan menang’. Proses dan sistem dalam pentadbiran awam perlulah telus supaya tiada lagi ruang yang kabur atau tersekat yang menyebabkan masyarakat mula bosan dan sangsi terhadap keberkesanan kerajaan dalam memerintah.
Malaysia perlu mempunyai modal insan berhemah, berkualiti dan berpandangan jauh sekiranya ingin memastikan untuk 50 tahun yang akan datang, negara kita tidak akan dijajah dalam apa jua bentuk. Mungkin untuk tempoh tersebut, tidak mustahil kita akan menguasai sebahagian ekonomi dunia, kita akan menjajah sejarah peradaban dunia serta moncorak penjalanan sosial dunia.
Jika disamakan usia negara seperti manusia, bolehlah kita rumuskan bahawa negara kita sudah matang, sudah melahirkan golongan pelapis menerusi pelbagai perubahan, memiliki keluarga besar, mempunyai kewangan yang stabil dan akan mewariskan segala harta kepada golongan pelapis. Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama. Langkah pertama kanak-kanak adalah langkah yang manis, namun dibimbangi ibu bapa kerana takut berkemungkinan anak itu akan jatuh. Jangan takut, Malaysia menjadi anak yang mengambil langkah pertama tanpa gentar sambil membantu rakan lain bertatih kerana untuk 50 tahun yang akan datang diharap akan menjadi ‘kakanda’ kepada negara yang lain.
Hasil nukilan: Hamba Allah (yang menyayangi Malaysia.)
Label(s) bahasa melayu®